Lawatan kenali produk kitani

Oleh Nurdiyanah R.

Sedar atau tidak, apabila kita melancong dalam negara, kita sebenarnya berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat akan destinasi pelancongan, kebudayaan dan warisan di negara yang kita cintai ini.

Itulah hasrat yang dicapai oleh seramai 35 orang ahli Kumpulan Halaqah Brunei Darussalam semasa mengikuti salah satu pakej pelancongan domestik menarik menerusi Temburong Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang dikendalikan oleh Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), baru-baru ini.

“Jalan-jalan dalam negara bukan hanya untuk mengisi masa lapang semata-mata, bahkan kenikmatan dapat dirasai lebih daripada itu. Begitu indah menyaksikan alam kehijauan yang masih mengekalkan kesegarannya sepanjang perjalanan.

“Jalinan silaturahim turut dirasai bersama sambil berkongsi pengetahuan dan pengalaman menarik bersama ahli-ahli yang bukan hanya terdiri daripada masyarakat tempatan bahkan sebahagiannya juga terdiri dari negara-negara luar seperti Indonesia, Singapura, Itali, Korea dan Jordan,” ujar Datin Hajah Rosni binti Haji Tungkat selaku ketua kumpulan tersebut semasa mengadakan kunjungan di Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belais dan Buda-Buda, Kampung Belais, Daerah Temburong bagi menerokai beberapa produk dan perkhidmatan keluaran MPK berkenaan, antaranya bawang goreng dan pondok-pondok riadah serta memancing.

Bukan hanya menenangkan apabila berada di Daerah Temburong dengan kesegaran alam semula jadinya, bahkan Suzana (hujung, kiri) yang buat kali pertama menjejakkan kaki ke sana juga sungguh tertarik hati melihat kehidupan masyarakat di kampung berkenaan yang penuh kesederhanaan dan juga jiwa keusahawanan yang ditampilkan oleh para pengusahanya sehingga mampu menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang unik lagi istimewa.
Bersantai sambil menimba pengetahuan dan pengalaman berharga bersama, itulah ketulusan hati yang dirasai oleh Datin Hajah Rosni semasa mengikuti salah satu pakej pelancongan domestik menarik menerusi Temburong Satu Kampung Satu Produk (1K1P), baru-baru ini.
Hajah Jinah menjelaskan bahawa dengan adanya perusahaan yang dijalankan pastinya menjadi platform yang sangat baik untuk meningkatkan perekonomian.

Produk bawang goreng jana perekonomian
Semasa ditemui, salah seorang pengusaha produk bawang goreng menerusi ahli biro wanita MPK berkenaan, Hajah Jinah binti Jaafar yang mana menjelaskan bahawa dengan adanya perusahaan yang dijalankan bersama ahli-ahli biro wanita yang lain pastinya menjadi platform yang sangat baik untuk meningkatkan perekonomian diri dan keluarga dari semasa ke semasa.

“Dari hari ke hari, sambutan masyarakat di negara ini begitu memberangsangkan di mana pembeli kami bukan hanya terdiri dari masyarakat setempat malahan juga dari luar daerah terutamanya dari segi tempahan,” tambahnya yang turut berharap suatu hari nanti berpeluang mengeksport ke luar negara.

Sehubungan dengan itu, warga emas yang bersemangat tinggi ini juga menyarankan kepada masyarakat di negara ini terutamanya generasi muda agar sentiasa berfikiran terbuka dan positif untuk sama-sama memanfaatkan bakat atau kemahiran yang ada melalui dunia keusahawanan, meskipun wujudnya persaingan, namun yakin dan fokus serta usaha yang lebih giat itu amat penting untuk memantapkan penghasilan produk agar ia lebih menarik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Lawatan cetus inspirasi
Dalam pada itu, dengan menyaksikan pancaran semangat daripada para ahli biro wanita MPK berkenaan yang bersatu hati mengusahakan produk bawang goreng berkenaan, secara tidak langsung mampu mencetuskan inspirasi kepada salah seorang ahli kumpulan yang berasal dari Singapura, Suzana binti Husin yang buat kali pertama menjejakkan kaki ke Daerah Temburong.

“Bukan hanya menenangkan apabila berada di sini dengan kesegaran alam semula jadinya, bahkan saya juga sungguh tertarik hati melihat kehidupan masyarakat di kampung ini yang penuh kesederhanaan. Begitu juga dengan jiwa keusahawanan yang ditampilkan oleh para pengusahanya turut melambangkan nilai-nilai positif ke arah sikap penuh berdikari sehingga mampu menawarkan pelbagai produk yang unik dan lazat seperti kuih tradisi wajid dan juga perkhidmatan yang menarik, salah satunya pondok memancing,” jelasnya dengan senyuman manis.

Selain itu, rombongan juga berkesempatan berkunjung ke Kampung Lepong Baru dan Kampung Rataie sambil menerokai beberapa produk yang diusahakan oleh ahli MPK mereka seperti kraf tangan kayu meliputi gegawi, tongkat, parang dan key chain. Oleh yang demikian, bersama-samalah kita menghargai dan menyokong sosioekonomi dan juga tidak ketinggalan nilai-nilai warisan sejarah dan budaya yang dimiliki oleh masyarakat di negara yang kita cintai ini agar pelbagai khazanah yang begitu berharga itu dapat terus dipelihara.