BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Peter Hermann Wolff baru-baru ini, telah mengadakan lawatan kerja ke kampus utama Politeknik Brunei (PB) di Jalan Ong Sum Ping, di sini.
Ketibaan Tuan Yang Terutama telah dialu-alukan oleh Pengarah PB, Denis Ho Mun Tai dan Penolong Pengarah PB, Awang Alias bin Haji Abu Bakar. Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan sekolah PB.
Lawatan kerja dimulakan dengan pembentangan taklimat mengenai program-program yang sedang dijalankan dan kegiatan-kegiatan PB pada masa kini.
Semasa lawatan itu, Tuan Yang Terutama turut menyaksikan demo PB Learning Management System (PB LMS) yang telah disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Awang Khalid bin Haji Zaini dari Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (SICT) dan mengunjungi pameran pelajar-pelajar PB semasa sesi lawatan ke premis PB bagi melihat kemudahan dan infrastruktur yang terdapat di sana. Sebagai penghargaan, Pengarah PB turut menyampaikan cenderamata kepada Tuan Yang Terutama semasa lawatan tersebut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PB, lawatan kerja tersebut bertujuan untuk memahami sistem pendidikan di PB seterusnya perbincangan mengenai peralihan kepada teknologi lebih maju menerusi Revolusi Industri ke-4 atau dikenali sebagai Revolusi Industri 4.0 di peringkat global dan meneroka kemungkinan kerjasama antara PB dengan organisasi dan institusi pendidikan di Republik Persekutuan Jerman dalam bidang yang bersesuaian.
