Oleh Yusrin Junaidi
Gambar Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Perancis yang telah lama terjalin diperkukuhkan lagi dengan lawatan rasmi Presiden Jawatankuasa Perancis-Asia Tenggara, Mathieu Darnaud dan rombongan ke negara ini selama tiga hari bermula kelmarin hingga esok.
Ketibaan Mathieu Darnaud berserta rombongan telah dialu-alukan oleh Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan pihak Kedutaan Republik Perancis di Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan yang diberikan, rombongan Mathieu Darnaud disertai oleh tiga orang ahli senator daripada jawatankuasa berkenaan.
Antara atur cara lawatan Mathieu Darnaud dan rombongan di negara ini termasuk mengadakan beberapa perjumpaan iaitu bersama Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka
Haji Abidin; Peguam Negara, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa; dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Hajah Mardiana binti Haji Omar.
Perjumpaan-perjumpaan tersebut merupakan satu landasan bagi kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai hala selain membincangkan isu-isu yang menjadi kepentingan dan keprihatinan bersama.
Di samping itu, perjumpaan berkenaan juga dapat mengukuhkan lagi jalinan muhibah antara kedua-dua negara.
Rombongan juga telah membuat lawatan ke Muzium Alat Kebesaran Diraja di ibu negara yang mana memberi peluang kepada rombongan melihat alat-alat kebesaran diraja yang dipamerkan di muzium tersebut.
Selain itu, rombongan tersebut juga akan berpeluang untuk menyusuri perairan
Sungai Brunei esok dan melihat keunikan Kampong Ayer yang terkenal sebagai salah sebuah destinasi pelancongan di negara ini.