Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Kunjungan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ke Negara Brunei Darussalam telah membuahkan hasil dengan pertemuan perwakilan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam, WeCare, Mawar, rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kumpulan Meraih Berkah.
Perkara itu disampaikan oleh Presiden MAPIM, Haji Azmi bin Abdul Hamid semasa kunjungan hormat mereka kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Diplomatic Enclave, hari ini. Rombongan yang diketuai oleh Haji Azmi, menyatakan bahawa ini adalah lawatan kerja pertama MAPIM ke Brunei dan membawa bersama ahli Persatuan Ulama Palestin, Presiden Persatuan Ulama Palestin di Asia Tenggara Dr AHED ABU ALATTA.
Antara lain objektif lawatan adalah untuk mewujudkan kerjasama dengan kerajaan Brunei Darussalam dan memperkenalkan kerja yang dilakukan serta melibatkan diri dengan agensi-agensi Brunei, NGO dan masyarakat awam.
Pada masa yang sama, lawatan itu bertujuan untuk melibatkan diri dengan rakan sejawatan Brunei, agensi dan NGO dalam isu Palestin memandangkan Negara Brunei Darussalam mempunyai pendirian yang sangat kuat dalam isu Palestin dan mereka mahu mengadakan kerjasama ini untuk dapat mempromosikan isu tersebut dengan lebih meluas lagi di Brunei.
Pertemuan dengan pelbagai NGO itu menyaksikan mereka melakukan banyak kerjasama terutamanya berkaitan Palestin.
Haji Azmi, yang pernah ke Brunei dalam beberapa lawatan peribadi melakukan kuliah di sekitar Brunei dan juga dengan UNISSA, menambah bahawa mereka mempunyai rancangan kerjasama selaras dengan agenda utama kempen kesedaran Palestin dan juga untuk memahami mengapa perlu menyokong Al-Aqsa.
