Lawatan menteri Australia eratkan hubungan dua hala

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Menteri bagi Wanita Australia, Puan Yang Terutama Marise Payne, hari ini, telah mengadakan lawatan ke Brunei Darussalam yang mengetengahkan hubungan mesra dan berpanjangan antara Australia dan Brunei.

Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam dalam kenyataannya di sini, hari ini, menjelaskan bahawa lawatan beliau merupakan satu peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan membincangkan bagaimana kedua-dua buah negara bekerjasama untuk menangani isu-isu utama serantau sebelum Brunei mempengerusikan ASEAN pada 2021.

Semasa berada di negara ini, Puan Yang Terutama telah mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, beliau juga mengadakan pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

Sebagai Menteri bagi Wanita, Puan Yang Terutama juga telah bertemu dengan beberapa pemimpin wanita paling kanan di Brunei untuk membincangkan cabaran-cabaran dan peluang bagi meningkatkan wanita dalam kepimpinan.

PYT Marise Payne juga telah memberikan penghormatan di Memorial Brunei-Australia, Pantai Muara.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-75 tentera Australia mendarat di Pantai Muara sebagai sebahagian daripada perasi OBOE VI di Borneo Utara menjelang penghujung Perang Dunia kedua. Seramai 114 orang rakyat Australia kehilangan nyawa dalam operasi
berkenaan.

PYT Marise Payne memberikan penghormatan di Memorial Brunei-Australia, Muara. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam