Lawatan muhibah erat persaudaraan

Oleh Sahama

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Rombongan terdiri daripada 20 orang ahli Syukbah Hal Ehwal Wanita Masjid An Nur Kampung Rampayan Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah telah mengadakan lawatan muhibah ke Masjid Setia Ali, Pekan Muara baru-baru ini.

Kedatangan rombongan berkenaan disambut dengan persembahan dikir daripada Muslimah Masjid Setia Ali, Pekan Muara.

Disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid Setia Ali, Awang Rosli bin Haji Ladis dan diselajurkan dengan sesi taklimat dan aktiviti di masjid berkenaan.

Dalam lawatan itu, rombongan turut berkesempatan mempersembahkan bacaan rawi.

Lawatan muhibah tersebut antara lainnya adalah bertujuan untuk mengetahui aktiviti-aktiviti yang dijalankan dan dilaksanakan oleh masjid berkenaan selain menjalinkan hubungan persaudaraan sesama Muslimah.

Lawatan berkenaan diakhirinya dengan sesi bertukar-tukar cendera kenangan di antara kedua-dua belah pihak.

Rombongan dari Sabah bergambar kenangan bersama Muslimah masjid sebelum meninggalkan negara ini.