Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Lawatan pantau pembelajaran secara bersemuka

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh berserta rombongan, kelmarin, telah mengadakan lawatan ke beberapa buah institusi pendidikan secara berasingan.

    Lawatan bermatlamat untuk meninjau dan menyaksikan le-bih dekat pelaksanaan aktiviti-aktiviti kembali ke sekolah iaitu Program Siuknya ke Sekolah, prosedur operasi standard (SOP), Student Learning Survey (SLS) serta kemudahan-kemudahan yang disediakan bagi pengawalan COVID seperti ruang saringan ujian pantas antigen (ART) dan bilik pengasingan bilik.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, lawatan kerja berkenaan adalah bersempena sesi persekolahan penggal kedua secara bersemuka di mana ia merupakan hari kedua sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua peringkat termasuk pelajar-pelajar berumur lima hingga 11 tahun tanpa mengira status vaksinasi mereka di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Yang Berhormat Dato telah mengadakan lawatan ke tiga buah sekolah rendah di Daerah Tutong iaitu Sekolah Rendah Dato Pemancha Saging Ukong, Sekolah Rendah Penapar dan Sekolah Rendah Lubok Pulau.

    Ketibaan Yang Berhormat Dato dan rombongan telah dialu-alukan oleh guru-guru besar sekolah tersebut.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa membuat lawatan ke beberapa buah sekolah di Daerah Tutong bersempena sesi persekolahan penggal kedua secara bersemuka.
    Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah semasa membuat lawatan berasingan ke beberapa buah sekolah di Daerah Brunei dan Muara.

    Semasa lawatan berkenaan, Yang Berhormat Dato meninjau prasarana dan kemudahan sekolah seperti bilik-bilik darjah, perpustakaan dan makmal komputer. Di samping itu, beliau juga berpeluang berinteraksi bersama para tenaga pengajar dan murid serta berkesempatan untuk memberikan nasihat dan kata-kata motivasi kepada mereka.

    Ketika melawat ke bilik-bilik darjah, Yang Berhormat Dato turut menyaksikan penyertaan murid-murid dalam SLS atas talian.

    Manakala itu, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah mengadakan lawatan kerja ke tiga buah sekolah rendah di Daerah Brunei dan Muara iaitu Sekolah Rendah Tanah Jambu, Sekolah Rendah Mentiri dan Sekolah Rendah Dato Mohd Yassin di mana ketibaan beliau dan rombongan dialu-alukan oleh guru besar masing-masing.

    Lawatan Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah dimulakan dengan menyaksikan pelaksanaan saringan ART yang dibimbing oleh ibu bapa, tenaga pengajar dan kakitangan sekolah. Beliau juga berpeluang menyaksikan beberapa aktiviti di bawah Program Siuknya ke Sekolah dan penyertaan murid-murid dalam SLS yang dilaksanakan pada hari kedua persekolahan.

    Semasa lawatan itu juga, beliau berpeluang untuk beramah mesra dengan para ibu bapa, penjaga, tenaga pengajar serta murid sambil memberikan kata-kata semangat kepada para murid.

    Aktiviti-aktiviti di bawah Program Siuknya Ke Sekolah, terus dilaksanakan sepanjang minggu pertama persekolahan bagi menyesuaikan pelajar-pelajar sekolah rendah dengan suasana pembelajaran secara bersemuka.

    Kenyataan menyatakan bahawa antara aktiviti berkenaan adalah sesi suai kenal, ceramah motivasi dan program-program keagamaan. Selain itu, pihak sekolah juga mengadakan SLS yang bertujuan untuk menilai jurang pembelajaran yang dihadapi oleh para pelajar semasa penutupan sementara sekolah disebabkan penularan pandemik COVID.

    Kementerian Pendidikan akan terus menekankan aspek kesihatan serta keselamatan di premis-premis sekolah di negara ini. Pihak sekolah ditekankan untuk terus melaksanakan SOP yang telah disediakan dalam memastikan kesejahteraan pelajar-pelajar, tenaga pengajar, warga sekolah dan individu-individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah adalah terjamin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...