Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Mahasiswa dan mahasiswi Tahun 3 Fakulti Pertanian, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), kelmarin, telah mengadakan lawatan pendidikan ke Ghanim International Corporation Sdn Bhd sebagai salah satu aktiviti lawatan di bawah kursus Marketing and Practices.
Lawatan rombongan seramai 16 orang itu diketuai oleh Dekan Fakulti Pertanian, Profesor Madya Dr Hajah Rose binti Abdullah.
Selaras dengan objektif kursus, lawatan bertujuan untuk mendedahkan mahasiswa dan mahasiswi mengenai strategi-strategi pemasaran eksport bagi pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Hadir bagi mengalu-alukan rombongan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Dr Nur Rahman.
Sesi lawatan dimulakan dengan pembentangan korporat oleh pengurus pembangunan perniagaan bagi memberikan penerangan mengenai operasi perniagaan syarikat itu dalam membangunkan, memasarkan dan mempromosikan produk bruneihalalfoods dan produk-produk PMKS ke pasaran global.
Sesi lawatan diteruskan dengan video lawatan maya ke Kemudahan Pemprosesan Serba guna Pembangunan Industri Makanan Brunei (BFID) bagi melihat kemudahan yang terdapat di syarikat berkenaan.
Mahasiswa dan mahasiswi Program Sarjana Muda Pertanian (Agribisnis) berkenaan juga berpeluang untuk mengajukan soalan semasa sesi soal jawab termasuk mengenai strategi memasuki pasaran global, cabaran-cabaran, peraturan-peraturan import di negara-negara lain, daya saing di peringkat global dan sebagainya.
