Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    Lawatan perkukuh hubungan

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Dua orang tenaga akademik dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah mengadakan lawatan ke Malang, Surabaya bagi kunjungan muhibah ke Universitas Negeri Malang (UM) dan Universitas Islam Malang (UNISMA), Malang, Surabaya, Indonesia.

    Delegasi tersebut diketuai oleh Pengarah PPHT, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim dan diiringi oleh Penolong Pensyarah, Dayang Nor Surilawana binti Sulaiman.

    Menurut UNISSA, kunjungan tersebut merupakan salah satu inisiatifnya untuk mengekalkan lagi jaringan hubungan antara UNISSA dan UM serta UNISMA yang sedia terjalin sejak beberapa tahun yang lalu.

    Matlamat utama kunjungan adalah bagi membincangkan lebih lanjut perhubungan kerjasama dan memorandum persefahaman, di samping meluaskan rangkaian kerjasama dengan pakar profesional halal dari institusi pengajian tinggi di Malang, seterusnya membincangkan kebarangkalian program pertukaran staf, pertukaran pelajar dan khidmat masyarakat di Malang.

    Semasa lawatan ke UM, delegasi sempat berkunjung ke Laboratori Halal dan Laboratori Pembuatan Pastri, Laboratori Uji Makanan dan Laboratori Praktikal Dapur Halal.

    Gambar ramai peserta semasa lawatan ke UM dan UNISMA di Surabaya, Indonesia. – Gambar serahan UNISSA

    Kunjungan itu telah memberikan ruang kepada delegasi untuk merancang dan menyusun strategi lebih baik dalam menyiapkan dan mempersiapkan pelajar-pelajar PPHT khususnya dalam bidang halal.

    Delegasi seterusnya berkunjung ke UNISMA, yang diteruskan dengan perbincangan-perbincangan kerjasama dan lawatan ke pusat halal UNISMA.

    Pengiran Dr Hajah Norkhairiah juga dijemput sebagai pembentang ucaptama pada Persidangan Antarabangsa mengenai Pembangunan Halal (ICHaD) 2023 dan juga dijemput sebagai pembentang jemputan bagi dua sesi kuliah.

    Manakala itu, Dayang Nor Surilawana juga menyampaikan kertas kerja pada ICHaD2023.

    Kunjungan tersebut diharap dapat mengukuhkan lagi jaringan hubungan yang sedia ada, dan delegasi berharap agar kerjasama yang dijalin melalui pertukaran tenaga akademik, pelajar dan khidmat masyarakat dapat direalisasikan.

    Perancangan-perancangan kolaborasi penyelidikan dan penerbitan juga akan dapat dilaksanakan demi manfaat bersama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...