ISLAMABAD, 18 Sept – Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menuju ke Riyadh hari ini bagi lawatan pertamanya ke luar negara sejak memegang tampuk kuasa, menurut kenyataan rasmi.
Lawatan selama dua hari ke Arab Saudi itu genap sebulan selepas Khan mula berkuasa, di mana Pakistan berdepan dengan krisis baki pembayaran dan adanya spekulasi bahawa perdana menteri baharu itu cuba mendapatkan pinjaman sebanyak berbilion dolar dari sekutunya.
Lawatan itu diatur atas undangan Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohammad bin Salman, menurut kenyataan dari Kementerian Luar Pakistan.
“Perdana menteri akan bertemu dengan Raja Salman dan akan mengadakan pertemuan dua hala dengan putera mahkota,” tambah kenyataan itu, dengan menambah bahawa raja Arab Saudi juga akan mengadakan makan malam buat perdana menteri Pakistan di kediaman diraja.
“Perdana menteri akan bertemu dengan pemimpin Arab Saudi dan akan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan serantau dan antarabangsa,” jelas salah seorang pegawai kanan kerajaan kepada AFP. – AFP