BANGKOK, 20 FEB – Lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand minggu ini dijangka membawa ‘khabar gembira’ mengenai pembukaan semula sempadan darat Thailand-Malaysia.
Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata lawatan tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha itu, adalah yang pertama sejak beliau dilantik sebagai perdana menteri Ogos lepas.
Ini juga kunjungan pertama perdana menteri Malaysia ke negara itu sejak wabak COVID-19 melanda dunia dua tahun lalu. Jojie berkata antara agenda perbincangan semasa lawatan itu termasuk pembukaan semula sempadan darat, kerjasama dua hala serta meneroka peluang perdagangan dan pelaburan pasca COVID-19.
“Bakal ada berita baik (mengenai pembukaan semula sempadan darat). Sudah ada beberapa cadangan.
“Pegawai kanan dan jawatankuasa teknikal akan membincangkan butiran mengenai pembukaan semula,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis makan malam Tahun Baharu Cina Kelab Malaysia Thailand (KMT).
Jojie berkata turut akan dirundingan ialah mengenai pengiktirafan sijil vaksinasi dari kedua-dua negara.
Ismail Sabri dijadual mengadakan lawatan kerja ke Bangkok dari 24 hingga 26 Februari. – Bernama