Oleh Nurdiyanah R.
TEMBURONG, 15 OGOS – Dengan matlamat bagi menerokai keindahan yang diketengahkan oleh pelancongan domestik terutamanya menerusi keistimewaan projek inisiatif hijau, sembilan orang guru subjek geografi dan pegawai Sekolah Menengah Berakas (SMB) telah mengadakan lawatan ke The Abode Resort and Spa, Daerah Temburong, baru-baru ini.
Menurut kenyataan SMB, lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti pembangunan profesional yang dianjurkan oleh Jabatan Geografi sekolah berkenaan.
Rombongan telah dialu-alukan oleh penyelaras acara The Abode Resort and Spa, Awang Ajrul Mail yang menyampaikan taklimat ringkas sebelum membawa rombongan melawat perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.
Melalui lawatan berkenaan, rombongan berpeluang mengetahui cara pengendalian The Abode Resort and Spa itu dalam memanfaatkan tenaga dari matahari dan mengubahnya menjadi elektrik, di samping memahami projek inisiatif hijau yang telah dilaksanakan selama ini serta pelbagai kemudahan, fasiliti dan aktiviti menarik yang disediakan.
Dengan penambahan pengetahuan guru-guru, ia secara tidak langsung membolehkan mereka berkongsi maklumat berguna itu kepada anak-anak didik di sekolah termasuklah ilmu pengetahuan mengenai bagaimana strategi dan langkah untuk mempromosi resort kepada orang ramai bukan hanya kepada penduduk tempatan bahkan juga pelancong dari luar negara.