Lawatan teroka kemahiran baharu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Rombongan terdiri daripada 15 orang dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Sekolah Teknologi Maklumat dan Komputer, telah mengadakan lawatan ke Institute of Technology Education (ITE) College West, Singapura, baru-baru ini.

Lawatan merupakan sebahagian daripada program pertukaran kakitangan dan pelajar antara kedua-dua buah institusi teknikal berkenaan yang diadakan pada 30 September hingga 7 Oktober lalu, telah disertai oleh 10 orang pelajar Program HNTec bersama lima orang kakitangan yang diketuai oleh Pengetua Sekolah, Awang Hassan Mohammed Zahir Hussain.

Program berkenaan adalah bertujuan untuk memberi platform kepada para pelajar dan kakitangan untuk meneroka kemahiran baharu dengan pendekatan global dalam kursus Electronic and Info-Comm Technology yang ditawarkan di ITE selain menimba pengalaman berada di persekitaran kampus dan gaya hidup di sana.

Sepanjang lawatan berkenaan, para pelajar berpeluang mengikuti beberapa sesi kelas selain dibawa melihat kemudahan-kemudahan yang terdapat di ITE. Sementara itu para kakitangan turut berpeluang merasakan pengalaman pengajaran dengan menggunakan Autodesk Fusion 360, pendekatan pembelajaran menggunakan Flipped Classroom dan bermacam lagi.

Rombongan IBTE semasa mengadakan lawatan ke ITE, College West, Singapura, baru-baru ini.