Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Bagi meninjau pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendaftaran dan kemasukan pelajar-pelajar baharu Sanah 7 dan 9 ke persekolahan Arab bagi tahun 2025, Ketua Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin telah mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Kampung Katok, pagi tadi.
Lawatan dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Pemangku Pengetua sekolah, Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Mohd Zinin.
Menurut Dayang Aidi Noorintan, pada tahun 2025, seramai 183 pelajar dijangka akan menyambung pembelajarannya di madrasah berkenaan. Pelajar-pelajar berkenaan adalah dari Sekolah Persediaan Arab BSB, Sekolah Arab Belait, SAT dan Sekolah Al-Falaah.
“Di dalam kemajuan ekonomi dan kepesatan teknologi kini, sekolah Arab dilihat masih relevan. Sekolah Arab merupakan salah satu sumber kemajuan negara dalam menghasilkan individu Muslim atau Muslimah yang kompeten serta berkemahiran dalam pelbagai bidang. Kedudukan pendidikan agama dan Bahasa Arab masih menjadi agenda utama dalam penyebaran syiar Islam di negara ini,” kata Dayang Aidi Noorintan.
Beliau menambah bahawa kemasukan pelajar ke madrasah itu bukan sahaja membuka peluang untuk mendalami ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi, tetapi juga menjadi titik permulaan menuju Wawasan 2035, iaitu membina masyarakat berilmu yang seimbang dalam ilmu dunia dan akhirat.
“Dalam usaha ini, kita semua bertanggungjawab untuk menyokong dan mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan untuk menjadikan negara kita sebagai Negara Zikir dan pusat penyelidikan ilmu Islam dalam pelbagai bidang,” kata beliau.
Madrasah itu menawarkan dua peperiksaan bersijil iaitu Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan Brunei Cambridge GCE Peringkat O. Pelajar yang berjaya memiliki kedua-dua sijil peperiksaan tersebut menjadi satu kelebihan untuk menentukan hala tuju bidang kerjaya yang lebih fleksibel dan pelbagai di masa hadapan.
Selain itu, pihak sekolah dan asatizah akan berusaha membentuk pelajar yang syumul, iaitu pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki akhlak mulia, kepimpinan yang hebat dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial.
Selepas ucapan, acara diteruskan dengan taklimat mengenai kemudahan asrama.
Lawatan itu juga bertujuan melihat lebih dekat dan memastikan penyediaan prasarana dan kemudahan di sekolah tersebut bagi kesejahteraan tenaga pengajar dan para pelajar yang secara tidak langsung dapat menyumbang kepada mencapai pendidikan yang berkualiti tinggi.
Turut hadir dalam rombongan itu ialah pegawai-pegawai dari Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam, KHEU.