Lawatan tinjau kesejahteraan pelajar

Oleh Salawati Haji Yahya & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Seramai 82 orang pelajar telah terplilih untuk mengikuti pengajian Tahun 7 di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan memulakan kehidupan mereka sebagai pelajar di institut berkenaan dengan menghadiri Minggu Ta’aruf (minggu suai kenal) bermula hari ini hingga 23 Januari.

Sesi kemasukan pelajar dibuat secara berasingan di dua buah tempat iaitu  ruang legar bawah asrama ITQSHHB bagi pelajar lelaki dan Lobi, Bangunan Kondominium Ong Sum Ping, ITQSHHB bagi pelajar perempuan.

Hadir meninjau kemasukan bagi pelajar lelaki ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Sepertimana lazimnya, pelajar akan didaftarkan oleh ibubapa atau penjaga masing-masing dan seterusnya pelajar ditempatkan di bilik-bilik asrama masing-masing.

Setiap pelajar dikehendaki untuk tinggal di asrama sepanjang pengajian di institut berkenaan, walaubagaimanapun mereka juga dibenarkan untuk balik ke rumah masing-masing seminggu sekali dan pada hari-hari kelepasan awam.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika meninjau pembelajaran di salah sebuah kelas di institut tersebut.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama beramah mesra dengan tenaga pengajar dan pelajar-pelajar semasa menyaksikan sesi kemasukan bagi pelajar lelaki ITQSHHB.
Antara ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka untuk meneruskan pengajian di ITQSHHB.

Ini antara lain bertujuan untuk mendidik pelajar supaya lebih berdikari, berdisiplin dan dapat menyesuaikan diri masing-masing dalam suasana pembelajaran hafazan Al-Quran dan akademik yang lebih  kondusif.

Pegawai Pelajaran, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Perempuan, Dayang Siti Wardah binti Haji Ibrahim ketika ditemu bual melahirkan harapan supaya pelajar baharu berkenaan menerapkan sikap sabar sepanjang tempoh pengajian di institut berkenaan.

Selain itu, tambahnya, sokongan dan dorongan ibu bapa juga penting untuk kejayaan anak-anak mereka.

Menurut beliau, sepanjang minggu suai kenal ini, pelajar perempuan akan mengikuti beberapa aktiviti untuk menyesuaikan mereka dengan suasana baharu pembelajaran dan Institut berkenaan.

“Antara aktiviti yang diikuti seperti menghalusi pembacaan Al-Quran di samping menghadiri taklimat, bengkel  mengenai adab dan teknik Al-Quran,” jelasnya.

Sementara itu, Dayang Fazidahwati binti Haji Mohd Salleh, ibu kepada sepasang kembar, Awang Mohd Noorfaq’rul Aiman Shah bin Noorshahzihan dan Awang Mohd Noorfaq’rul Iman Shah bin Noorshahzihan yang baru sahaja mendaftar mengongsikan bahawa kemasukan anak kembar beliau di institut tahfiz tersebut sebenarnya bukan cita-cita anak beliau, akan tetapi cita-cita beliau sendiri.

“Anak-anak (pada awalnya) tidak berminat, tetapi selepas diberi kata-kata motivasi seperti ianya adalah untuk dunia akhirat, untuk menarik kedua ibu bapa mereka ke syurga, oleh itu mereka sedikit demi sedikit akhirnya berminat (untuk memasuki institut berkenaan).

“Selain itu, mereka juga berminat setelah diberikan motivasi, dibawa lagi membaca Al-Quran setiap malam, selepas itu sembahyang lima waktu tidak putus-putus, Alhamdulillah,” kongsi Dayang Fazidahwati lagi kepada pihak media.