Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Lawatan tinjau pelaksanaan SOP kembali ke sekolah

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh berserta rombongan telah mengadakan lawatan ke beberapa buah institusi pendidikan secara berasingan pada hari pertama sesi persekolahan penggal kedua secara bersemuka kelmarin.

    Lawatan bermatlamat untuk meninjau dan melihat secara lebih dekat pelaksanaan aktiviti-aktiviti kembali ke sekolah iaitu Program Siuknya ke Sekolah, prosedur operasi standard (SOP) serta kemudahan-kemudahan yang disediakan bagi pengawalan COVID-19 seperti ruang ujian saringan ujian pantas (ART) dan bilik pengasingan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah telah mengadakan lawatan ke tiga buah sekolah rendah di Daerah Belait iaitu Sekolah Rendah Sungai Teraban, Sekolah Rendah Ahmad Tajuddin dan Sekolah Rendah Kuala Belait.

    Ketibaan Yang Berhormat Dato dan rombongan di Sekolah Rendah Sungai Teraban dialu-alukan oleh Guru Besar, Hajah Sarina binti Haji Yahya, di Sekolah Rendah Ahmad Tajuddin oleh Guru Besar, Awang Khairul bin Mashud dan di Sekolah Rendah Kuala Belait oleh Guru Besar, Dayang Noorirmawati binti Noorashid.

    Semasa lawatan berkenaan, Yang Berhormat Dato meninjau prasarana dan kemudahan sekolah seperti bilik-bilik darjah, perpustakaan dan makmal komputer.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah berpeluang berinteraksi bersama pelajar semasa lawatan kerja ke salah sebuah sekolah di Daerah Belait.
    Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah ketika mengadakan lawatan kerja ke salah sebuah sekolah di Daerah Tutong.
    Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah menyaksikan pelaksanaan saringan ART di salah sebuah sekolah.

    Di samping itu, beliau juga berpeluang berinteraksi bersama para tenaga pengajar, murid, ibu bapa dan penjaga serta berkesempatan untuk memberikan nasihat dan kata-kata motivasi.

    Manakala itu, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah mengadakan lawatan kerja ke tiga buah sekolah rendah di Daerah Tutong iaitu Sekolah Rendah Bakiau, Sekolah Rendah Panchong dan Sekolah Rendah Rambai.

    Ketibaan Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah dan rombongan di Sekolah Rendah Bakiau dialu-alukan oleh Guru Besar, Dayang Mariana binti Abdullah Maduan, di Sekolah Rendah Panchong, mereka dialu-alukan oleh Guru Besar, Haji Mazleadifirdaus bin Haji Ramlee serta di Sekolah Rendah Rambai, dialu-alukan oleh Guru Besar, Hajah Hasnita binti Haji Musa.

    Lawatan dimulakan dengan menyaksikan pelaksanaan ujian ART yang dibimbing oleh tenaga pengajar dan beliau juga berpeluang menyaksikan beberapa aktiviti di bawah Program Siuknya ke Sekolah, yang dilaksanakan oleh pihak sekolah.

    Semasa lawatan itu juga, beliau berpeluang untuk beramah mesra dengan murid-murid sambil memberikan kata-kata semangat kepada mereka supaya belajar dengan bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan.

    Sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua peringkat termasuk pelajar-pelajar berumur lima hingga 11 tahun tanpa mengira status vaksinasi mereka yang mengikuti pembelajaran di peringkat rendah (kerajaan dan swasta) di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, sekolah-sekolah agama (Darjah Pra hingga Darjah 6) dan sekolah-sekolah Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pusat-pusat khas di bawah kawalan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bermula kelmarin (14 Mei).

    Ini adalah bertepatan dengan permulaan penggal kedua persekolahan bagi sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...