Lawatan tinjau perkembangan perindustrian di Daerah Tutong

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Rombongan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini, telah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi tapak perusahaan pertanian dan perikanan di Daerah Tutong sebagai lanjutan daripada siri lawatan yang telah diadakan di Daerah Belait, baru-baru ini.

Lawatan berkenaan merupakan siri lawatan kedua yang diaturkan oleh pihak Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan tujuan untuk mengongsikan dan seterusnya memberikan kefahaman serta memberigakan perkembangan dan pencapaian terkini aktiviti-aktiviti atau kegiatan-kegiatan perusahaan yang berkaitan dengan industri pertanian dan perikanan di Daerah Tutong.

Seramai 16 orang Ahli MMN telah menyertai program lawatan kali ini, yang disertai sama oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

Program lawatan kerja itu juga diaturkan bagi memberikan pendedahan kepada ahli-ahli MMN mengenai penglibatan anak-anak tempatan dalam perusahaan pertanian dan perikanan sama ada sebagai pemilik secara persendirian ataupun usaha sama (joint-venture) dengan pengusaha-pengusaha asing dan juga peluang-peluang pekerjaan yang disediakan kepada anak-anak tempatan.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Awang Mohd Yusree bin Haji Junaidi, Pemangku pengarah pertanian dan agrimakanan, pemangku pengarah perikanan serta beberapa orang pegawai kanan dari KSSUP dan jabatan-jabatan di dibawahnya.

Rombongan MMN semasa mengadakan lawatan ke beberapa lokasi tapak perusahaan pertanian dan perikanan di Daerah Tutong. – Gambar serahan KSSUP
Rombongan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ketika mengadakan lawatan ke salah sebuah lokasi tapak perusahaan perikanan di Daerah Tutong, kelmarin, sebagai lanjutan daripada siri lawatan yang telah diadakan di Daerah Belait, baru-baru ini.

Lawatan rombongan ahli-ahli MMN dimulakan di Tapak Ternakan Udang Sungai Penyatang seluas 200 hektar yang dipunyai oleh Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pelabur langsung asing yang telah mula beroperasi pada 2002 dan diurus oleh Richard Chuang Hsi Sha.

Dari sana, lawatan diteruskan ke Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd yang terletak di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Batang Mitus. Syarikat berkenaan merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Darussalam Assets Sdn Bhd adalah pemegang saham majoriti.

Rombongan seterusnya melawat tapak Syarikat Green Technology Farm yang juga terletak di KKP Batang Mitus, di mana syarikat itu mengusahakan aktiviti perladangan tanaman buah-buahan, khususnya tanaman pisang Cavendish. Sesi lawatan diakhiri dengan lawatan ke tapak perusahaan Syarikat Diyana ‘Aliah Enterprise yang juga terletak di KKP Batang Mitus dengan keluasan 10 hektar.

Syarikat yang diurus oleh Dayang Diyana ‘Aliah binti Abdullah itu menjalankan perusahaan tanaman buah-buahan tidak bermusim dengan tanaman Pisang Berangan dan Pisang Madu sebagai tanaman utama.

Program lawatan bagi ahli-ahli MMN akan diteruskan lagi dengan siri lawatan ketiga iaitu lawatan ke tapak-tapak perusahaan pertanian dan pelancongan di Daerah Temburong pada 27 Januari ini.