Lawatan tinjau situasi banjir

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Berikutan dengan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat yang berterusan di negara ini, ia telah menyebabkan paras air naik di kawasan pendalaman Daerah Tutong khususnya di Kampung Benutan.

Kesan daripada paras air yang naik di kawasan pedalaman berkenaan, telah menyebabkan beberapa buah kampung iaitu Kampung Rambai, Kampung Ukong, Kampung Kuala Ungar dan Bangkuru serta Kampung Layong telah mengalami banjir disebabkan turunan air sungai dari kawasan pedalaman yang menyebabkan beberapa buah rumah dimasuki air dan beberapa batang jalan raya tidak dapat dilalui oleh kenderaan biasa dan pacuan empat roda.

Sehubungan dengan itu, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin mengadakan lawatan serta tinjauan situasi banjir di kawasan-kawasan yang terjejas, kelmarin.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit dan ketua Cawangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Tutong.

Kunjungan tersebut turut menyaksikan penyerahan sebanyak 13 barang-barang bantuan keperluan harian kepada rumah-rumah yang dimasuki air di kawasan Kuala Ungar dan Bangkuru.

Salah sebuah rumah yang terjejas banjir di Jalan Bangkuru.
Barang bantuan keperluan harian daripada pihak JAPEM diserahkan melalui pemangku ketua Kampung Merimbun.

Salah satu lokasi lawatan ialah menyusur kawasan Jalan Bangkuru bagi meninjau keadaan paras air dan melawat ke sebuah rumah penduduk kampung iaitu kepunyaan Awil anak Ali yang dimasuki air.

Semasa lawatan itu, Awang Ajmin telah berkesempatan untuk berinteraksi bersama ketua keluarga dan pemangku ketua Kampung Merimbun serta diselajurkan dengan penyampaian barang-barang bantuan daripada pihak JAPEM mengikut tatacara dan SOP yang dikuatkuasakan masa ini.

Perancangan persediaan bantuan-bantuan termasuk barang-barang catuan keperluan harian telahpun diaturkan bersama agensi-agensi yang berwajib dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perkembangan paras air banjir.

Jabatan Daerah Tutong ingin mengingatkan kepada penduduk kampung supaya sentiasa menggunakan saluran yang betul dan bersikap sabar dalam menghadapi situasi banjir ini.

Jika ada sebarang masalah dan keperluan bantuan, jabatan itu turut menyarankan untuk menghubungi ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung masing-masing supaya bantuan-bantuan dapat diselaraskan bersama pihak-pihak yang berkenaan dengan teratur.

Jabatan Daerah Tutong juga mengingatkan kepada penduduk-penduduk kampung dan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan semasa banjir ini dan sentiasa memantau anak-anak mereka supaya tidak bermain di kawasan banjir bagi keselamatan bersama.

Pemantauan paras air telah pun dilaksanakan sejak kejadian hujan lebat bermula pada pertengahan Ogos 2021. Keadaan paras air banjir adalah masih dalam keadaan terkawal dan pihak Jabatan Daerah Tutong bersama agensi-agensi yang berkenaan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung sentiasa membuat pemantauan perkembangan paras air banjir dari semasa ke semasa.