Layanan Iceland cetus kontroversi

REYKJAVIK, 11 JUN – Para pegawai Turki semalam menyelar ‘sikap tidak hormat’ yang ditunjukkan kepada pasukan kebangsaan negara itu ketika mereka tiba di Iceland bagi perlawanan kelayakan Euro 2020.

Pasukan Turki itu dibiarkan menunggu selama beberapa jam di tempat kawalan pasport di lapangan terbang Reykjavik pada Ahad dan tertakluk bagi pemeriksaan keselamatan terperinci, menurut beberapa kenyataan daripada para pemain yang dipetik dari media Turki.

Jurucakap presiden, Ibrahim Kalin mengeluarkan kenyataan marah menerusi Twitter, membidas ‘sikap tidak hormat’ yang ditunjukkan kepada pasukan kebangsaan dan berkata layanan terhadap para pemain Turki ‘tidak boleh diterima’.

Pengarah komunikasi bagi pejabat Presiden Turki, Fahrettin Altun juga berkata bahawa layanan itu “tidak sejajar dengan budi bahasa diplomatik atau semangat kesukanan.”

Kementerian Luar mengeluarkan satu protes diplomatik kepada Iceland melalui kedutaan Norway. Para pegawai Iceland mengesahkan kepada AFP bahawa mereka ada menerima protes tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Isavia, syarikat yang mengendalikan lapangan terbang itu, berkata pemeriksaan terperinci perlu dibuat atas sebab keselamatan, kerana lapangan terbang terakhir para pemain adalah Konya, yang tidak mempunyai undang-undang keselamatan yang sama dengan lapangan terbang di Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain yang mempunyai persetujuan berkaitan. – AFP