Saturday, August 13, 2022
24 C
Brunei

Lazimkan beristighfar

-

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Untuk menjernihkan dan membersihkan hati daripada sebarang dosa dan maksiat, agama Islam telah mengajarkan beberapa langkah yang perlu dilakukan seperti memperbanyakkan berzikir, taubat dan istighfar.

Khatib semasa khutbah Jumaat hari ini menyatakan istighfar itu adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran sambil memohon ampun kepada Allah atas segala dosa.

“Istighfar bukan hanya bagi orang yang berbuat maksiat dan berbuat dosa saja tapi semua dituntut untuk sentiasa bertaubat dan beristighfar,” ujarnya dalam khutbah bertajuk ‘Lazimkan Diri dengan Istighfar’.

Beliau berkata di dalam Al-Quran dan hadis, Rasulullah SAW juga banyak mengajar mengenai doa-doa yang mengandungi lafaz istighfar yang bertujuan untuk mengharap maghfirat atau pengampunan daripada Allah.

Menurutnya, terdapat banyak fadilat dan kelebihan yang dikurniakan Allah bagi mereka yang mengamalkan istighfar dan antara kelebihan istighfar itu ialah memperolehi keampunan Allah atas segala dosa yang dilakukan sama ada sengaja atau tidak.

Istighfar akan menyenangkan hati daripada kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang telah dilakukan dan memperoleh perlindungan Allah daripada tipu daya dan hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh Syaitan.

“Melazimkan diri dengan istighfar itu sangat penting dalam kehidupan dan terdapat fadilat atau kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada sesiapa saja yang membaca dan mengamalkan istighfar, tidak sewajarnya istighfar itu diabaikan, apatah lagi dilupakan,” tegasnya lagi.

Rasulullah SAW sendiri menjadikan istighfar sebagai amalan harian, betapa pula kita yang sekadar insan biasa, walaupun Rasulullah SAW seorang yang maksum atau bebas daripada dosa tapi Baginda tetap beristighfar setiap hari sebanyak 100 hari supaya dipelihara daripada perkara yang menyebabkan dosa.

Dalam pada itu, khatib turut mengingatkan orang ramai semasa Fasa Peralihan ini, untuk lebih mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan sosial.

“Ini kerana kajian mendapati, virus COVID-19 ini tidak dapat dihapuskan dan akan merebak sekali lagi dengan cepat jika arahan pihak berwajib tidak dipatuhi,” tekannya.

Orang ramai juga diseru agar tidak leka kerana segala usaha akan sia-sia sekiranya tidak memikul tanggungjawab dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -