Lazio rangkul Coppa Italia

ROM, 16 Mei – Lazio menjulang Coppa Italia buat kali ketujuh awal pagi tadi selepas dua jaringan lewat menerusi Sergej Milinkovic-Savic dan Joaquin Correa telah memberikan mereka kemenangan 2-0 ke atas Atalanta.

Tandukan Milinkovic-Savic telah memecahkan kebuntuan ketika perlawanan hanya berbaki lapan minit di Stadio Olimpico, beberapa saat selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, sebelum Correa mengesahkan kemenangan dengan jaringan di saat-saat akhir.

Kemenangan itu telah mengesahkan Lazio tiket ke Liga Europa musim depan, sesuatu yang sangat dimahukan oleh pasukan Simone Inzaghi kerana mereka kini di kedudukan kelapan Serie A, empat mata dari slot terakhir Eropah dengan berbaki dua perlawanan.

“Kami benar-benar mahu menjulang Piala ini,” kata Inzaghi.

Ia adalah malam yang cantik di stadium kami yang dipenuhi penyokong. Satu perasaan yang sangat berpuas hati, kami layak meraihnya kerana berusaha keras mencapainya.”

Kemenangan pasukannya bagaimanapun dicemari dengan perbalahan di luar stadium di antara penyokong ultra Lazio dan polis sebelum perlawanan.

Para penyokong melontar projektil ke arah anggota polis sementara kereta polis dibakar berdekatan dengan jambatan Ponte Milvio tidak jauh dari Stadio Olimpico.

Menurut media Itali, dua orang anggota polis cedera, dan lima orang penyokong diberkas.

Atalanta telah mengetepikan juara bertahan pada suku akhir dan dipertaruhkan untuk memenangi Coppa Italia kedua mereka dan kejuaraan utama sejak memenangi kejohanan itu pada tahun 1963. – AFP

Senad Lulic menjulang trofi Piala Itali selepas Lazio menewaskan Atalanta di Stadio Olimpico. – AP