LC jadi agensi peneraju DRRP COVID-19

LABUAN, 20 JULAI – Pihak berkuasa Perbadanan Labuan (LC) akan bertindak sebagai agensi peneraju untuk menyelaras inisiatif Program Pengurangan Risiko Daerah (DRRP) COVID-19 di pulau bebas cukai itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Fary Akmal Osman berkata agensi yang menjalin kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Labuan akan dibantu oleh jabatan kerajaan berkaitan.

“Bagi pihak kami (LC), kami akan mengaktifkan jentera pelbagai unit kesihatan kami, penguatkuasaan, Majlis Perwa-kilan Penduduk dan Majlis Pengurusan Masyarakat Desa,” katanya pada sidang akhbar sebelum menyerahkan bantuan tunai kepada mangsa kebakaran Kampung Lajau dan Taman Mutiara di Wisma Perbadanan Labuan hari ini.

Beliau berkata program itu, yang sedang digerakkan, adalah penting dalam memastikan Labuan mengekalkan statusnya sebagai zon hijau bagi penularan COVID-19. – Bernama

Dr Fary Akmal Osman ketika ditemui dalam Sidang Media Pemerkasaan Komuniti Dalam ‘District Risk Reduction Programme’ (DRRP) COVID-19 di Wisma LC, Labuan, kelmarin. – Bernama