Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    LCB meterai perjanjian dengan University of Essex

    Oleh Mu’min Karim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), hari ini, telah menandatangani perjanjian francais bersama University of Essex bagi menawarkan kursus sarjana muda perundangan di Brunei Darussalam.

    Majlis penandatanganan berlangsung di kampus kolej berkenaan di mana hadir bagi menyaksikannya ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh; Naib Canselor University of Essex, Profesor Anthony Forster dan Pengarah LCB, Haji Suhaimei bin Haji Besar.

    Melalui perjanjian itu, pelajar yang mengikuti kursus perundangan akan dapat melengkapkan pengajian Tahap 4 dan 5 LLB Law Sekolah Undang-undang Essex di LCB.

    Pelajar yang berjaya menamatkan kedua-dua tahap berkenaan akan dapat meneruskan pengajian ke Tahap 6 serta mencapai ijazah dengan kepujian.

    Dalam kata alu-aluannya, Timbalan Pengetua LCB, Sivarajah Subramaniam menzahirkan harapan bahawa dengan adanya penandatanganan itu akan mencipta peluang agar kolej berkenaan akan lebih dikenali bukan sahaja di Brunei, malah juga di peringkat antarabangsa.

    “Program pengajian University of Essex yang ditawarkan di LCB bukan sahaja bermakna bagi Negara Brunei Darussalam dengan United Kingdom, malahan juga memberi manfaat kepada pelajar-pelajar dari negara Asia yang berada di kolej ini,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Catherine Pochkanavala-Cleeve dalam ucapannya berharap agar LCB akan terus memainkan peranan dalam menyumbang kepada wawasan 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Sivarajah Subramaniam dan Profesor Anthony Forster berjabat tangan sambil menunjukkan dokumen perjanjian yang ditandatangani.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...