Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    LCS: Suga beri amaran kepada China

    JAKARTA, 22 OKT – Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga kelmarin dengan tegasnya memberi amaran kepada China agar tidak mencetuskan ketegangan di Laut China Selatan (LCS).

    “Kami menentang apa sahaja tindakan yang meningkatkan ketegangan di LCS,” kata Suga pada sidang media di Jakarta, sempena penutup lawatan pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan tersebut bulan lalu, lapor Jiji Press. Semasa lawatan Asia itu, beliau turut mengunjungi Vietnam.

    “Saya telah memperbaharui tekad untuk terus mewujudkan wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka sambil terus mengadakan sidang kemuncak diplomasi dan bekerjasama rapat dengan ASEAN,” katanya.

    Suga berkata visi Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka tidak menyasarkan negara tertentu, jadi Jepun boleh bekerjasama dengan mana-mana negara yang mempunyai pandangan inisiatif sama itu.

    “Kami sama sekali tidak mempunyai rancangan untuk mewujudkan Indo-Pasifik versi NATO,” kata Suga, yang dilihat menyedari penentangan China terhadap inisiatif berkenaan.

    Suga tiba di Jakarta dari Hanoi kelmarin dan bertemu Nguyen Xuan Phuc di Vietnam pada 19 Oktober. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda