MILAN, 21 DIS – Penyerang AC Milan, Rafael Leao menjaringkan gol terpantas dalam sejarah Serie A kelmarin, menjaringkan gol hanya selepas enam saat dalam kemenangan 2-1 di Sassuolo dan sekali gus mengekalkan pasukannya di puncak liga menjelang pertemuan menentang seteru tempatan, Inter Milan.
Milan, memburu kejuaraan Serie A sejak 2011, melakukan serangan sejurus perlawanan bermula, dengan pemain tengah Turki, Hakan Calhanoglu membantu Leao untuk membuka jaringan pantas.
Jaringan terpantas terdahulu di liga utama Itali dicipta oleh Paolo Poggi untuk Piacenza ketika menentang Fiorentina pada Disember 2001 lapan saat selepas perlawanan bermula.
Milan mempunyai kelebihan satu mata ke atas pasukan kendalian Antonio Conte, Inter, yang menewaskan Spezia 2-1, sementara juara bertahan, Juventus ketinggalan empat mata di tempat ketiga selepas menang 4-0 di ke atas Parma Sabtu lalu.
“Kami mempunyai empat atau lima corak permainan. (Leao) sudah bersedia,” kata jurulatih Milan, Stefano Pioli, yang mana pasukannya sebelum ini terikat 2-2 dalam dua perlawanan terdahulu ini menentang Parma dan Genoa.

“Kemenangan perlawanan ini meningkatkan psikologi pemain.”
Pemain kelahiran Portugal, Leao, selalunya diturunkan di bahagian sayap kanan, memulakan perlawanan sebagai penyerang tengah sementara penyerang bintang Zlatan Ibrahimovic masih diketepikan kerana kecederaan otot dan menggantikan Ante Rebic yang tercedera.
Gol tersebut merupakan gol ketiga di liga pada musim ini dan gol keempat dalam semua kejohanan.
“Kami sudah bersedia semasa dalam latihan,” kata Leao.
“Perlawanan itu penting untuk kami kerana kami kehilangan beberapa mata dalam perlawanan sebelum ini.”
Calhanoglu kemudiannya dihalang dari menjaringkan gol kedua pada minit kesembilan apabila dia menyudahkan bola hasil hantaran lintang Leao tetapi gol tersebut dibatalkan selepas tinjauan VAR menunjukkan pemain tersebut berada dalam kedudukan ofsaid. – AFP




























