Lebah dalam mata wanita Taiwan

TAIWAN, 18 NOV – Seorang wanita yang sakit mata tidak menyangka beberapa ekor lebah mendiami matanya tanpa disedari.

Wanita Taiwan itu, He, 29, mengatakan matanya sakit semenjak seminggu lalu sehingga mengeluarkan air mata. Ekoran kesakitan melampau, dia pergi mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Fooyin di Taiwan.

Menurut laporan The Guardian, doktor yang merawat gadis itu terkejut apabila mendapati ada lebah pada bahagian dalam matanya. “Saya nampak sesuatu seperti kaki serangga, jadi saya menariknya perlahan-lahan menggunakan mikroskop tanpa mencederakan mata pesakit.

Ternyata serangga itu masih hidup,” kata Dr Hung Chi Ting yang merawat He. Menurut He, ketika menziarah kubur ahli keluarga pada minggu lalu, dia merasakan sesuatu terbang ke arah matanya, namun hanya menyangka ia kotoran dan membilasnya dengan air.

Dia bagaimanapun menjelaskan kesakitan matanya tambah teruk pada waktu petang dan matanya jadi bengkak.

Difahamkan lebah yang memasuki mata He ini adalah spesies halictidae yang tertarik kepada benda masin atau garam seperti air mata dan peluh. He bagaimanapun bersyukur dapat mengeluarkan lebah tersebut dan mengelak matanya daripada buta. – Agensi