Lebih 1.2 juta hilang pekerjaan di Indonesia

JAKARTA, 9 APRIL – Lebih 1.2 juta pekerja hilang pekerjaan di Indonesia susulan impak ekonomi akibat penularan wabak COVID-19, kata Menteri Tenaga Kerja, Ida Fauziyah.

Memetik kenyataannya di media tempatan hari ini, Ida Fauziyah berkata statistik itu berdasarkan kemas kini kementeriannya kelmarin, selepas 39,377 syarikat atau perusahaan terpaksa memberhentikan pekerja mereka atau ‘dirumahkan’ (cuti tanpa gaji), akibat kerugian atau kegagalan beroperasi.

Sejak kes kematian akibat COVID-19 pertama dicatatkan pada 11 Mac lepas, aktiviti ekonomi di Indonesia semakin merudum susulan langkah kawalan dalam menangani pandemik itu.

Sejak 16 Mac, kerajaan Indonesia mengambil pendekatan secara berperingkat seperti penutupan sekolah, tempat ibadat, pusat pelancongan, tempat hiburan, larangan kemasukan pelancong luar dan pelaksanaan pembatasan sosial berskala besar.

Pandemik COVID-19 juga memberi kesan buruk kepada golongan berpendapatan harian seperti peniaga makanan, hampir dua juta pemandu perkhidmatan seru-pandu (e-hailing) dan golongan pekerja bawahan yang kini menghadapi kesukaran mencari pendapatan.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Retno Marsudi, berkata rakyat Indonesia yang bekerja di luar negara, juga kini semakin ramai kembali ke tanah air, antaranya akibat kehilangan pekerjaan. “Rakyat Indonesia yang pulang dari Malaysia sahaja, sejak 18 Mac hingga 8 April lalu, adalah seramai 40,429 orang,” katanya

Menteri Kewangan, Sri Mulyani, dilaporkan berkata, mata wang rupiah juga kini mengalami kejatuhan teruk berbanding krisis ekonomi 1998, dan dibimbangkan menjunam kepada Rp20,000 berbanding AS$1.

Tukaran mata wang rupiah ketika ini adalah Rp17,500 bersamaan AS$1 dan ketika krisis ekonomi 1998, nilai terendah rupiah direkodkan pada Rp16,950 bersamaan AS$1. – Bernama

Pegawai polis Indonesia yang memakai kostum adiwira Indonesia membetulkan pemakaian penutup hidung dan mulut seorang penduduk di Pasuruan, Jawa Timur bagi mencegah COVID-19 pada 9 April. Sekitar 1.2 juta hilang pekerjaan di Indonesia susulan impak ekonomi disebabkan wabak virus itu. – AFP