Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Lebih $1 juta dikutip untuk Palestin

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JAPEM

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Sejumlah $1,245,100.15 telah berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 yang dibukakan kepada orang ramai selama tiga bulan bermula 26 Mei hingga 23 Ogos 2021.

    Jumlah itu adalah hasil kutipan daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang disumbangkan melalui penganjuran aktiviti amal dan berkebajikan termasuk kempen SMS Brunei Prihatin daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, syarikat swasta, perwakilan asing, persatuan atau pertubuhan dan orang persendirian.

    Sepanjang kempen itu, sebanyak 223 peti tabung telah disediakan di seluruh negara dan ditempatkan di masjid, surau, balai ibadat, bangunan-bangunan bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam bagi memudahkan orang ramai menderma.

    Sebanyak 25 buah agensi dan pertubuhan juga telah menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi mengutip derma untuk Tabung Kemanusiaan Palestin 2021.

    Berdasarkan penelitian bantuan darurat yang diperlukan oleh rakyat Palestin, sumbangan melalui Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 akan disalurkan untuk dua jenis bantuan asas iaitu bantuan pek makanan melalui The United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) khususnya untuk di wilayah Gaza dan bantuan bekalan perubatan khususnya kenderaan ambulans bagi kegunaan Palestine Red Crescent Society (PRCS) di wilayah Gaza dan Tebing Barat.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom (dua dari kiri) bergambar ramai selepas majlis penandatanganan MoU di antara Ghanim International Corporation Sdn Bhd dan UNRWA yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
    Karim Amer menunjukkan dokumen MoU yang dimeterai.

    Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Palestin 2021, dalam kata-kata aluannya pada Majlis Penandatanganan Memo-randum Persefahaman (MoU) antara Ghanim International Corporation dan UNRWA di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan secara maya, hari ini.

    Hadir menyaksikan penandatanganan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku penasihat bersama Tabung Kemanusiaan Palestin 2021.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Jordan, Tuan Yang Terutama Haji Mahadi bin Maidin, setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan KKBS.

    Hajah Nor Ashikin berkata Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei telah dilantik sebagai penyelaras bagi urusan pembelian dan penyaluran ambulans bersama pihak International Federation of Red Cross and Red Crescent (IFRC).

    Enam buah kenderaan ambulans akan disumbangkan iaitu tiga buah ambulans untuk wilayah Gaza dan tiga buah lagi untuk Tebing Barat.

    Sementara itu, Ghanim International Corporation telah dilantik untuk menyelaraskan sumbangan makanan berbentuk pek melalui UNRWA di mana lebih 115,000 pek makanan dihantar kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik pada 2021.

    Hajah Nor Ashikin dalam ucapannya menekankan bahawa sumbangan kewangan daripada orang ramai melalui Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 menunjukkan keprihatinan, kesungguhan dan perpaduan penduduk Negara Brunei Darussalam membantu meringankan bebanan dan memastikan kelangsungan hidup rakyat Palestin.

    Sementara itu, Pengarah Perkongsian UNRWA, Karim Amer dalam ucapan alu-aluannya menyampaikan penghargaan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam atas bantuan, keprihatinan serta sumbangan kepada rakyat Palestin yang memerlukan. Beliau turut menyatakan harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan kerjasama di antara UNRWA dan Negara Brunei Darussalam pada masa hadapan.

    Pemilihan PRCS dan UNRWA telah dinilai dengan mengambil kira skop aktiviti kemanusiaan dan bantuan rayuan segera dari organisasi berkenaan bagi membantu rakyat Palestin.

    Bagi memastikan urusan penyerahan bantuan pek makanan terlaksana dengan sempurna, penandatanganan MoU antara Ghanim International Corporation Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Nur Rahman dan UNRWA yang diwakili oleh Karim Amer telah dimeterai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...