Lebih 10 maut hotel penempatan kuarantin runtuh

BEIJING, 8 MAC – Sekurang-kurangnya 10 maut dalam tragedi runtuhan sebuah hotel di bandar Quanzhou, China, yang dijadikan kemudahan kuarantin pesakit COVID-19, kata Menteri Pengurusan Kecemasan, hari ini.

Pasukan penyelamat kini sudah mengeluarkan 48 mangsa runtuhan itu dengan seramai 38 daripada mereka masih hidup susulan tragedi yang berlaku kira-kira jam 7:30 malam tadi dan 23 lagi dipercayai masih hilang. Pesisir bandar Quanzhou mencatatkan sebanyak 47 kes jangkitan COVID-19 dengan hotel terbabit digunakan untuk menempatkan individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit, lapor akhbar People’s Daily.

Rakaman yang tular di aplikasi Weibo memaparkan pasukan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan hotel itu dalam keadaan gelap bagi memastikan wanita yang dihempap serpihan berat dan cedera dapat dikeluarkan.

Rakaman lain disiarkan agensi media tempatan pula mempamerkan rakaman kamera keselamatan di seberang jalan dari hotel berkenaan yang menunjukkan premis terbabit runtuh dalam beberapa saat.

Bahagian hadapan bangunan itu dilihat berderai seolah-olah tanah dengan cerucuknya terdedah, manakala orang ramai berkumpul sejak petang kejadian itu.

Terdahulu, penyiar rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) tempatan melaporkan seramai 48 daripada 67 mangsa sudah dikeluarkan daripada runtuhan di Hotel Xinjia yang baru dibuka pada 2018.

Tingkat satu bangunan itu sedang menjalani proses ubah suai sejak sebelum perayaan Tahun Baharu Cina dengan pekerja pembinaan menghubungi pemilik hotel itu seminit sebelum kejadian runtuhan untuk memaklumkan kerosakan tiang, lapor agensi Xinhua.

Agensi Xinhua turut melaporkan pihak polis sudah memanggil pemilik hotel terbabit.

Runtuhan bangunan dan kemalangan ketika pembinaan sudah tidak asing lagi di China dengan lazimnya ia dikatakan berikutan pembangunan pesat di republik itu yang membawa kepada pelanggaran peraturan keselamatan. – AFP

Anggota penyelamat ketika melakukan operasi mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan yang dijadikan sebagai kemudahan kuarantin pesakit COVID-19 di Quanzhou, kelmarin. – AFP