Lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah

KUALA LUMPUR, 21 OGOS – Lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi ‘Op Blue Devil’ yang dijalankan di setiap kontinjen sejak minggu lepas, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata kesemua anggota dikesan positif dadah menerusi operasi berkenaan yang dijalankan bermula 13 Ogos dan beliau turut terkejut dengan jumlah tersebut yang disifatkan berada pada tahap kritikal dan serius.

“Kali ini saya mengambil pendekatan secara menyeluruh yang mana tindakan turut diambil ke atas warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melancarkan ‘Op Blue Devil’ yang mana pegawai dan anggota polis dikehendaki menjalani ujian air kencing dan ada yang didapati positif pelbagai jenis dadah terutamanya syabu.”

Abdul Hamid berkata angka berkenaan yang amat membimbangkan menunjukkan bahawa tahap penyalahgunaan dadah di negara ini sudah berada pada tahap kritikal.

Sementara itu, Pengarah JSJN Datuk Mohd Khalil Kader Mohd ketika dihubungi berkata dalam ‘Op Blue Devil’ yang dijalankan sehingga semalam, seramai 3,438 anggota PDRM telah menjalani ujian saringan air kencing.

Beliau berkata seramai 86 anggota polis didapati positif dadah jenis syabu, masing-masing enam individu positif Amphetamine dan Opiat manakala selebihnya dua individu positif ganja dan seorang positif ketamin.

Mohd Khalil berkata anggota polis yang didapati positif dadah ini akan dikenakan tindakan undang-undang sama seperti orang awam iaitu mereka akan menerusi proses siasatan polis seterusnya dihadapkan ke mahkamah. – Bernama