Lebih 100 buah syarikat berusaha hasilkan vaksin

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Terdapat lebih 100 buah syarikat yang berusaha untuk menghasilkan vaksin COVID-19 tetapi hanya sejumlah kecil sahaja yang bergerak memasuki fasa 1 dan fasa 2 ujian.

Syarikat-syarikat yang sedang menghasilkan vaksin berkenaan adalah dari negara-negara barat dan juga China di mana ujian ke atas manusia hanya dilakukan dalam jumlah yang sedikit sahaja serta keputusan daripada ujian-ujian berkenaan sedang diteliti.

Dalam ujian berkenaan, penekanan dibuat mengenai dengan kesan sampingan daripada vaksin-vaksin yang sedang dibangunkan di mana kesan sampingan itu bukan sahaja semasa suntikan dibuat tetapi juga kesan selepas vaksin berkenaan disuntik turut dipantau.

Oleh itu, penghasilan vaksin akan mengambil masa dan jika terdapat vaksin, kemungkinan tempoh paling awal, ia dihasilkan adalah pada lewat 2020 atau awal 2021, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab persoalan mengenai vaksin bagi COVID-19 yang dikemukakan oleh pihak media semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, adalah masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana ia bukan sahaja mengenai menghasilkan vaksin tetapi juga harus mengambil kira mengenai kaedah yang selamat untuk memberikan vaksin berkenaan dan apabila ia telah diberikan, untuk mengenal pasti kesan atau kesan sampingan daripada penggunaan vaksin berkenaan.

Ketika menjawab persoalan mengenai penggunaan Smart Helmet, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menerangkan bahawa penggunaannya bertujuan untuk mengimbas suhu badan khususnya apabila berada di luar dan pada masa percubaan ia digunakan di sembilan buah masjid semasa solat fardu Jumaat esok.

Jika penggunaannya berjaya, ia akan dikembangkan penggunaannya ke masjid-masjid yang lain serta juga akan digunakan bagi tempat-tempat awam terutamanya di kawasan membeli-belah dan restoran.

Ia akan membolehkan petugas-petugas untuk memerhati dan meninjau kawasan-kawasan berkenaan untuk melihat jika terdapat mereka yang kurang sihat berada di kawasan berkenaan.

Beberapa buah syarikat sedang berusaha untuk menghasilkan vaksin COVID-19 tetapi hanya sejumlah kecil sahaja yang bergerak memasuki fasa 1 dan fasa 2 ujian. – AFP