Oleh Salawati Haji Yahya & Siti Nur Wasimah S
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Lebih 100 orang yang terlibat dalam industri minyak dan gas telah menghadiri Sambutan Hari Keselamatan Sedunia anjuran Syarikat TOTAL E&P Borneo B.V yang berlangsung di Hotel Radisson, di ibu negara, hari ini.
Hari Keselamatan Sedunia yang disambut pada setiap 28 April itu, disambut di 130 buah negara dengan tema tertentu dan pada tahun ini, tema sambutan adalah ‘TOTAL’s Golden Rules’.
Turut hadir di majlis sambutan tersebut ialah Pengurus Besar TOTAL E&P Borneo B.V., Vincent Dutel dan beberapa tetamu khas yang lain.
Tema sambutan tahun ini dipilih dengan tujuan untuk memberigakan mengenai peraturan TOTAL Golden selain berkongsi peraturan asas untuk semua, sama ada yang bekerja di pejabat atau pelantar minyak dan sebagainya.
Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Perhubungan Korporat dan CSR, Awang Muhd Rasimoon bin Haji Adinin ketika ditemui di majlis berkenaan, yang sete-rusnya menambah, di Brunei, Sambutan Hari Keselamatan Sedunia diadakan serentak di empat lokasi berbeza TOTAL.

Katanya, majlis sambutan tersebut diisi dengan penerangan mengenai peraturan TOTAL Golden selain menjemput orang-orang yang pengalaman dalam sektor keselamatan untuk berkongsi maklumat dan pengalaman mereka.
Sambutan juga dimeriahkan dengan beberapa aktiviti yang memberi tumpuan kepada aspek keselamatan.
“Apa yang menariknya sempena sambutan ini juga, TOTAL di Brunei juga memberi penghargaan kepada kakitangan TOTAL atas usaha mereka memberi cadangan dan inisiatif keselamatan yang terbaik,” tambahnya.
Menurutnya, setiap tahun, TOTAL akan mengumpulkan cadangan di mana cadangan terbaik akan diberikan penghargaan dan hadiah, yang mana dengan usaha ini ia akan memberi lebih galakkan kepada orang ramai untuk memberikan cadangan keselamatan yang berterusan.
Katanya lagi, selain mengikuti peraturan dan undang-undang kerajaan Brunei, TOTAL juga mempunyai peraturan sendiri dan mengharapkan orang ramai akan mengikuti peraturan yang telah ditetapkan.
“Dengan peraturan ini, ianya diharap dapat diselaraskan dan dikongsikan dengan kakitangan masing-masing,” jelasnya.