Lebih 100 hilang tempat tinggal

TAWAU, 17 JUN – Dianggarkan lebih 100 penduduk hilang tempat tinggal apabila 20 rumah musnah dalam kebakaran di Lorong Haji Sundu, Batu 2 Jalan Apas, di sini tengah hari tadi.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Sukur Hatta berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.28 tengah hari sebelum menghantar 40 anggota bersama dua jentera dan tiga kenderaan utiliti ke lokasi.

“Sebaik sampai, kita dapati kebakaran membabitkan struktur rumah papan dengan api merebak pantas berikutan cuaca panas terik selain tiupan angin kencang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Sukur berkata pihaknya juga menghadapi sedikit kesukaran untuk memadamkan kebakaran ekoran tekanan air rendah kerana kedudukan pili bomba dan sumber air yang jauh.

“Selain itu, kita berdepan rintangan wayar elektrik yang putus dan berbahaya kepada anggota bertugas memadam kebakaran,” katanya, menambah kebakaran telah berjaya dikawal dan pihaknya sedang memantau situasi.

Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa dan punca kebakaran dalam siasatan.

Sementara itu, menurut beberapa penduduk, kebakaran turut memusnahkan sekurang-kurangnya enam kenderaan dan sebuah kedai runcit. – Bernama

Dianggarkan lebih 100 penduduk hilang tempat tinggal apabila 20 rumah musnah dalam kebakaran di Lorong Haji Sundu, Batu 2 Jalan Apas, Tawau, kelmarin. – Bernama