Lebih 100 kanak-kanak diberi vaksin mansuh

SHANGHAI, 11 Jan – Sekurang-kurangnya 145 orang kanak-kanak diberikan vaksin polio yang sudah mansuh di timur China, menurut laporan media negara itu, meskipun kerajaan sudah berjanji untuk mencegah perkara seperti itu dalam industri tersebut susulan skandal besar tahun lepas.

Tiga pegawai kesihatan peringkat wilayah di Jiangsu telah dipecat sejak kes itu muncul awal minggu ini, terbaharu mengenai meningkatnya kebimbangan terhadap kesihatan awam, menurut satu pengumuman oleh pihak berkuasa Jinhu.

Seorang penduduk mendapati awal minggu ini bahawa sejumlah vaksin polio yang disediakan dan kemudian diberikan kepada kanak-kanak di sebuah pusat kesihatan kendalian wilayah itu sudah mansuh hampir sebulan pada 11 Disember, menurut laporan dari penyiar tv negara, CCTV semalam.

Pihak berkuasa setempat sejak itu mendapati 145 kanak-kanak menerima vaksin itu antara 11 Disember dan 7 Januari, menurut CCTV, dipetik dari sumber kerajaan. Pegawai kesihatan setempat berkata vaksin yang sudah mansuh itu hanya kurang keberkesanannya dan ia tidak akan menyebabkan kesan sampingan lain pada kesihatan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam laman sesawangnya berkata mereka yang menerima vaksin mansuh ‘kemungkinan besar tidak jatuh sakit’ tetapi memberi amaran bahawa mereka mungkin tidak mendapat imunisasi yang secukupnya.

CCTV berkata sebahagian ibu bapa melaporkan kesan buruk dalam kalangan anak-anak mereka, termasuk muntah dan pening, namun ia masih belum jelas sama ada ia adalah reaksi biasa bagi alahan pada ubat itu. – AFP