Lebih 100 maut letupan di Beirut

BEIRUT, 5 OGOS – Bak padang jarak padang tekukur, begitulah situasi di tapak bencana dua letupan di pelabuhan Beirut hari ini, meragut lebih 100 nyawa yang mungkin meningkat jumlahnya ketika penyelamat masih bertungkus lumus mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan, menurut Palang Merah Lubnan dan pihak berkuasa tempatan.

Lebih 4,000 pula cedera dalam letupan besar kedua yang berlaku pada jam 6:10 petang waktu tempatan, menggegarkan kesemua bangunan dan memusnahkan hampir seluruh kejiranan, mengheret Lubnan ke dalam krisis lebih mendalam.

Letupan dipercayai berlaku akibat kebakaran 2,750 tan baja ammonia nitrat yang disimpan selama bertahun-tahun di gudang di pelabuhan itu. Ledakan juga dapat dirasakan sehingga sejauh Cyprus, kira-kira 150km ke barat daya.

Gabenor Beirut, Marwan Abboud menerangkan tragedi itu sebagai ‘malapetaka dahsyat’ dan menganggarkan seramai 300,000 orang kehilangan rumah sementara manakala kerugian dicatatkan negara akibatnya dijangka melebihi AS$3 bilion.

Skala kemusnahan yang menyerupai gempa bumi itu juga mengakibatkan hospital-hospital penuh dengan mereka yang cedera.

Helikopter memadamkan kebakaran akibat letupan besar dan kuat menggegarkan pelabuhan Beirut, ibu negara Lubnan, dipercayai akibat kebakaran baja ammonia nitrat. Lebih 100 maut, manakala 4,000 cedera dalam tragedi itu. –AFP
Mangsa cedera akibat letupan dirawat di tempat kejadian di pelabuhan Beirut. -AFP

Manakala imej-imej bebola api dan video letupan membanjiri media sosial hari ini.

Berikutan insiden itu, Perdana Menteri Hassan Diab mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung negara.

Diab turut merayu negara sahabat membantu Lubnan dalam menghadapi keadaan yang sukar itu.

Presiden Lubnan Michel Aoun turut memanggil mesyuarat tergempar majlis pertahanan dan mengisytiharkan Beirut kini dalam keadaan kecemasan sambil mendesak kabinet mengumumkan darurat di bandar raya itu selama dua minggu.

Majlis itu juga mendesak kabinet memperuntukkan dana untuk hospital serta menghubungi semua negara sahabat bagi mendapatkan sokongan bagi mewujudkan tabung bantuan untuk memberi ganti rugi kepada mangsa terjejas.

Manakala pemimpin-pemimpin dunia turut melahirkan simpati dan mengucapkan takziah serta menghulurkan sumbangan serta menghantar pasukan penyelamat ke negara itu.

Antaranya ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menzahirkan takziah susulan letupan Beirut itu, yang turut mencederakan beberapa kakitangan PBB.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata ia adalah ‘serangan yang teruk’ dan jeneral AS memaklumkan kepadanya bahawa letupan itu mungkin disebabkan ‘sejenis bom’, namun tidak mengemukakan bukti.

Di rantau itu, beberapa negara Teluk antara yang terawal memberi reaksi, dengan Qatar berjanji membuka hospital lapangan bagi menyokong bantuan perubatan.

Pemerintah Qatar, Emir Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, turut mendoakan mereka yang cedera segera pulih. -AFP/Bernama