Lebih 100 pain darah dikumpul

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Kumpulan Bank Baiduri mengadakan kempen derma darah tahunannya dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.

Acara tahunan berkenaan dianjurkan sejak 2009 merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat kumpulan berkenaan dan ia juga merupakan acara awam pertama yang diadakan di Ruang Komuniti Baiduri iaitu sebuah kawasan pertemuan di mana kakitangan Kumpulan Bank Baiduri membabitkan diri dan bekerjasama dengan pelbagai komuniti menerusi acara-acara dan aktiviti-aktiviti.

Kempen derma itu bermatlamat untuk membantu menambahkan bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan pada kempen menderma darah kali ini, seramai 120 orang yang terdiri daripada pihak pengurusan, kakitangan dan orang ramai telah sama-sama tampil ke hadapan di mana lebih 100 pain darah berjaya dikumpulkan.

Turut hadir pada acara berkenaan ialah Ketua Kumpulan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Veronica Chong yang dipetik menyatakan bahawa kempen menderma darah tahun ini seperti tahun-tahun yang sudah, telah mendapat sokongan yang hebat daripada kakitangan bank dan orang ramai yang secara sukarela tampil ke hadapan meluangkan masa bagi sama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti penuh kebajikan itu.

Beliau menyatakan lagi bahawa masa ini adalah amat bertepatan untuk mengadakan kempen derma darah itu kerana terdapat keperluan bagi bekalan darah di mana aktiviti menderma darah amat penting bagi membantu mengekalkan bekalan di dalam tabung darah kebangsaan.

Menerusi kegiatan derma darah itu, beliau berharap dapat membantu mereka yang memerlukan, tambahnya.

Veronica Chong turut menderma darah semasa kempen tersebut. – Gambar serahan Baiduri
Antara kakitangan Bank Baiduri yang mengambil bahagian dalam kempen derma darah yang diadakan di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani