Lebih 100 pain darah dikumpulkan di Tutong

Oleh Ak Zaki Kasharan

TUTONG, 19 JUN – Kempen derma darah yang dianjurkan oleh Sukarelawan Belia di Dewan Utama Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong selama dua hari berakhir kelmarin dengan berjaya mengumpulkan lebih 100 pain darah bagi menambah simpanan darah di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Kempen yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS itu menerima sambutan yang sangat baik kerana berjaya melepasi jumlah pain darah yang disasarkan.

Ketua Pusat Operasi Bahagian Kemasyarakatan, Sukarelawan Belia, Awang Mohammad Ashmeer bin Imtiaz Ahmad menjelaskan bahawa kejayaan kempen kali ini diharap dapat dicapai pada kempen yang akan dijalankan di Daerah Belait dan Daerah Brunei dan Muara nanti.

Kempen berkenaan turut dianjurkan bersempena dengan Hari Penderma Darah Sedunia 2020 yang disambut pada setiap 14 Jun sebagai menyahut seruan daripada Pusat Pendermaan Darah.

Awang Mohammad Ashmeer yang mengetuai kempen derma darah tersebut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma yang sudi mendermakan darah semasa kempen dan pihak kerajaan serta orang ramai yang banyak membantu dalam menyebarkan dan memberigakan mengenai kempen tersebut sama ada secara langsung mahupun menerusi laman media sosial.

Kempen seterusnya akan diadakan di Pusat Belia, Kuala Belait pada 23 dan 24 Jun ini.

Diharapkan masyarakat dan orang ramai di daerah tersebut akan dapat menyokong dan hadir bagi menjayakan kempen derma darah tersebut nanti.

Barisan Sukarelawan Belia dan kakitangan Pusat Pendermaan Darah yang terlibat dalam menjayakan kempen derma darah berkenaan.
Antara yang hadir menderma darah pada hari kedua kempen diadakan di Daerah Tutong.