Lebih 100 pelajar kejar impian di SMSA

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 3 FEB – Dengan keputusan Peperiksaan Peringkat ‘O’ bagi 2019 telah dikeluarkan minggu lalu, para pelajar berduyun-duyun ke pusat-pusat tingkatan enam (PTE) berdekatan untuk meneruskan perjalanan akademik mereka apabila sekolah-sekolah membukakan pendaftaran bagi pra universiti sesi 2020/2021.

Di Daerah Belait, pendaftaran juga diadakan di Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA), hari ini, bukan sahaja untuk membimbing para pelajar membuat keputusan dalam memilih kursus-kursus sesuai di Peringkat ‘A’, mengikut keputusan Peringkat ‘O’ mereka, malah bagi kerjaya masa depan.

Sebagai satu-satunya PTE di daerah ini, SMSA mempunyai pelbagai mata pelajaran Peringkat ‘A’ dan ‘AS’, termasuk Psikologi, Sosiologi, Perniagaan, Matematik, Kimia, Fizik dan Biologi.

Hari pendaftaran itu juga merupakan satu peluang ibu bapa membeli fabrik yang diperlukan bagi pakaian seragam anak-anak mereka serta pakaian senaman mengikut warna rumah sukan yang ditetapkan. Setakat ini, hari pendaftaran berkenaan telah menarik lebih 100 pelajar dengan diiringi ibu bapa mereka, yang berhasrat untuk mengejar impian mereka di SMSA. Jumlah itu dijangka meningkat memandangkan hari pendaftaran akan diteruskan sehingga 5 Februari.

Seorang pelajar ketika membeli pakaian sukan semasa mendaftar di SMSA.