Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 15 Feb – Lebih 100 orang pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-6, hari ini, telah mengadakan kerja-kerja kemasyarakatan di beberapa buah tempat di daerah ini.
Para pelatih PKBN tersebut telah dibahagikan kepada empat pasukan untuk melakukan kerja bergotong-royong membersihkan empat buah kawasan antaranya di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam di Batu Tiga Jalan Maulana, di Pusat Bahagia Eric Goh Jalan Pandan Lima, kawasan kediaman Awang Amin bin Ismail di Kampung Bakong Lumut dan kediaman Dayang Nuratifah Abdullah Dara, di Jalan Keruak Panaga Seria.
Di Pusat Bahagia Eric Goh, seramai 46 orang pelatih telah melakukan kerja-kerja membersihkan kawasan persekitaran pusat tersebut, membersihkan kawasan taman, dan sebagainya.
Jurulatih Jasmani PKBN, Koperal Siti Qadijah Jefery semasa ditemui Media Permata berkata, para pelatih tersebut adalah daripada Pasukan B Wing dan kerja kemasyarakatan itu merupakan antara aktiviti yang mereka lakukan semasa menyertai PKBN.


Menurutnya, platun 5 hingga 8 daripada Pasukan B Wing merupakan pengambilan ke-6 yang telah bermula pada 4 Disember lalu dan akan berakhir pada 13 Mac ini bagi penyertaan latihan selama tiga bulan.
“Tugas-tugas yang diberikan sepanjang program termasuklah latihan asas kemahiran tentera, program kerjaya yang dianjurkan oleh agensi luar antaranya Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Penjara, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan sebagainya dan aktiviti hari ini lebih menjurus kepada latihan melakukan kerja secara bergotong-royong membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Mengetuai pasukan yang mengadakan kerja-kerja kemasyarakatan di Pusat Bahagia Eric Goh ialah Penolong Ketua Platun Pasukan B Wing, Awang Mohammad Yunos bin Haji Abdul Talip.