Lebih 100 rumah dibeli suku pertama 2019

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Indeks Harga Hartanah Kediaman atau Residential Property Price Index (RPPI) pada suku pertama tahun 2019 menunjukkan kenaikan sebanyak 4.9 peratus tahun-ke-tahun kepada 91.6 berbanding dengan suku pertama tahun 2018, dan peningkatan sebanyak 5.6 peratus berbanding dengan suku keempat tahun 2018.

Menurut Kenyataan daripada Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), di sini, indeks ini dihasilkan dengan data-data yang diperoleh dari bank-bank di negara ini dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan, khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

Berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman yang diperoleh dari bank-bank, sebanyak 115 transaksi pembelian hartanah kediaman telah dicatatkan pada suku pertama tahun 2019.

Kebanyakan daripada transaksi tersebut adalah bagi pembelian rumah detached (53 peratus), diikuti oleh rumah teres (21.8 peratus), rumah berkembar atau semi-detached (20 peratus) dan pangsapuri (5.2 peratus). Tiada pembelian tanah melalui pinjaman bank telah dicatatkan pada suku tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, harga median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman pada tempoh suku pertama tahun 2019 adalah $245,000. Harga median bagi pembelian rumah detached adalah $288,000, bagi rumah berkembar atau semi-detached adalah $250,000, bagi rumah teres adalah $160,000, dan bagi pangsapuri adalah $325,000.

Harga median secara keseluruhan bagi pembelian hartanah kediaman pada tempoh suku pertama tahun 2019 telah menurun sebanyak 2 peratus tahun-ke-tahun berbanding dengan suku pertama tahun 2018. Jika dibandingkan dengan suku keempat tahun 2018, harga median bagi pembelian hartanah kediaman telah menurun sebanyak 2.8 peratus suku tahun ke suku tahun.

RPPI Negara Brunei Darussalam bagi suku pertama 2019 telah diterbitkan oleh AMBD. Sehubungan itu, AMBD ingin memaklumkan bahawa indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung kepada indeks dan statistik ini dalam menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman adalah berbeza tertakluk antara lainnya kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.

Bagi maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini boleh didapati di laman web AMBD (www.ambd.gov.bn). Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari masa ke masa melalui akaun Instagram AMBD @autoriti_monetari.