Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 saksikan demonstrasi judo

    Oleh Siti Nur Wasimah S & Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Sebagai langkah pertama ke arah Program Pertukaran Judo di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung selama empat hari bermula pada 15 Mei sehingga 18 Mei ini, satu demonstrasi judo yang meliputi bentuk-bentuk asas dan teknik judo telah diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

    Hadir menyaksikan demonstrasi judo pagi tadi ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Noriko Iki dan juga Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

    Demonstrasi itu juga disaksikan oleh seramai 100 orang penuntut dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri, Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Sekolah Menengah (SM) Sultan Muhammad Jamalul Alam, SM Berakas dan Sekolah Menengah Chung Hwa.

    Program pertukaran ini adalah merupakan anjuran Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama KKBS dan Kementerian Pendidikan.

    Rombongan Japan Foundation Asia Center dan Kodokan Judo Institute diketuai oleh Pengarah Urusan Japan Foundation Asia Center, Masaya Shimoyama.

    Noriko Iki dan Haji Noor Jusmin semasa hadir bagi menyaksikan demonstrasi tersebut.
    Noriko Iki dan Haji Noor Jusmin semasa hadir bagi menyaksikan demonstrasi tersebut.
    Demonstrasi judo yang telah dipersembahkan oleh Chikara Kariya dan Shusaku Kiryu.
    Demonstrasi judo yang telah dipersembahkan oleh Chikara Kariya dan Shusaku Kiryu.

    Sementara itu, demonstrasi judo telah dipersembahkan oleh dua orang tenaga pengajar judo daripada Kodokan Judo Institute yang didatangkan oleh Japan Foundation Asia Center iaitu Timbalan Pengurus Jabatan Antarabangsa Kodokan Judo Institute, Chikara Kariya dan Kakitangan Judo Museum, Shusaku Kiryu.

    Manakala di sebelah petang di tempat yang sama, aktiviti percubaan diadakan untuk kira-kira 50 peserta yang terdiri daripada bekas atlet Judo dan bekas jurulatih-jurulatih, para pelajar dari Sekolah Sukan, peserta dari Akademi ZeroOnEight (018) Mix Martial Arts dan Akademi Martial Arts BUSIIDO.

    Kedua-dua jurulatih dari Jepun ini memberikan aktiviti yang dimulakan dengan sesi memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti percubaan untuk setiap peserta.

    Melalui program pertukaran ini, ia akan dapat mengukuhkan lagi persefahaman antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda