Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 15 OKT – Lebih 100 orang yang terdiri daripada belia, warga emas dan penduduk Kampung Telisai telah menyertai acara riadah bersama keluarga yang diadakan di kawasan bukit dan hutan berdekatan Lebuhraya Telisai Lumut, baru-baru ini.
Turut hadir sama pada acara tersebut ialah Ketua Kampung Telisai, Haji Maidin bin Abdul Wahit.
Terdahulu itu, kerja-kerja pembersihan tapak trek hiking dijalankan atas usaha bersama penduduk kampung itu.
Antara tujuan acara berkenaan adalah bagi mengisi masa lapang dan mengeratkan lagi tali silaturahim dalam kalangan penduduk Kampung Telisai dengan menggalakkan cara hidup sihat.
Lokasi tersebut dipilih kerana kesesuaiannya dan keindahan alam sekitarnya yang dipenuhi dengan alam semula jadi yang belum pernah diterokai sekali gus memberikan pendedahan kepada generasi baharu khususnya penduduk di kampung itu sendiri.