Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Lebih 100 sertai Majlis Selawat Subuh Jumaat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Sebagai salah satu aktiviti dalam Program Brunei Darussalam Berselawat 1444H/2022M, Majlis Selawat Subuh Jumaat telah diadakan secara maya hari ini dengan disertai lebih 100 orang.

    Ia telah dijayakan bersama oleh Al-Busyra Enterprise, Belia Masjid Syababussalam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan dan Kumpulan Firqah Al-Husni.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Zakaria bin Haji Serudin dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. 

    Majlis telah didahului dengan bacaan Sayyidul Istigfar dan Surah Al-Fatihah sebelum diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta Selawat Ibrahimiyah.

    Para jemaah juga melaungkan Selawat Jibril sebanyak 100 kali dan Selawat Nuril Mubin sebanyak 50 kali.

    Seterusnya, majlis disusuli dengan bacaan doa terlindung daripada fitnah dajal, Doa Peliharakan Sultan dan doa menghindarkan diri daripada segala jenis penyakit dan COVID-19 secara berkumpulan.

    Acara berkenaan turut disertai oleh pemimpin-pemimpin dari organisasi belia, kampung dan mukim serta jemaah dari negara jiran Malaysia, Sabah.

    Program Brunei Darussalam Berselawat 1444/2022 merupakan anjuran Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT), Pusat Belia Bandar Seri Begawan dan dikendalikan oleh Biro Keagamaan KKBT serta disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Menurut KKBT, Majlis Selawat Subuh Jumaat merupakan kesinambungan kepada program-program yang diadakan sebelum ini, iaitu Program Brunei Berselawat dan Program Kenali dan Cintai Rasulullah. 

    Sementara itu, KKBT turut mengemas kini jumlah selawat dalam aktiviti ‘Lakastah Berselawat’ yang disertai oleh ahli-ahli kumpulan WhatsApp Komuniti Berselawat Brunei, di mana lebih empat juta kali selawat telah dikumpulkan.

    Aktiviti itu adalah salah satu usaha untuk melestarikan dan membudayakan bacaan selawat dalam kehidupan seharian dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

    Program Brunei Darussalam Berselawat akan diteruskan lagi dengan Majlis Selawat dan Doa Munajat pada 17 Oktober ini secara maya melalui aplikasi Zoom. 

    Manakala itu, Majlis Selawat Perdana akan diadakan pada 21 Oktober di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...