Thursday, September 29, 2022
31.9 C
Brunei

Lebih 1,000 barangan tegahan dirampas

-

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JKED

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Lebih 1,000 barangan tegahan kastam dirampas dalam dua operasi Bahagian Penguat kuasa Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di kawasan Kampung Batong dan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Serasa baru-baru ini.

Dalam operasi pertama, dua orang lelaki tempatan berusia 30 dan 15 tahun telah ditahan oleh JKED di kawasan Kampung Batong, Mukim Pengkalan Batu pada 30 Ogos lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, barang-barang tegahan yang dirampas pada operasi itu ialah 291 karton dan sembilan batang rokok, 71 unit pod vape, 24 botol dan 96 tin minuman keras pelbagai jenama serta wang tunai berjumlah $2,328 yang dipercayai hasil daripada aktiviti penjualan barang-barang tegahan kastam.

Manakala itu, hasil daripada gerakan operasi sepadu JKED bersama Bahagian Kawalan Makanan Halal, yang telah dijalankan di kawasan RPN Kampung Serasa pada 5 September lalu telah berjaya menjumpai 1,000 karton rokok pelbagai jenis.

Semua barang-barang terbabit telah dirampas dan individu-individu terlibat dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, JKED bagi siasat lanjut.

Sehubungan itu, JKED menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan juga larangan
kastam.

Jabatan itu menyatakan bahawa memiliki barang-barang tegahan kastam adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

Dalam pada itu, JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat aktiviti menyalahi perundangan dan peraturan.

Sebuah kereta bersama barangan tegahan dirampas pada operasi pertama di Kampung Batong.

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penjawat awam dilarang luah pendapat di media sosial

COLOMBO, 28 SEPT – Sri Lanka hari ini mengarahkan penjawat awam untuk tidak meluahkan pendapat mereka di media sosial selepas beberapa orang pegawai mendakwa...
- Advertisment -