Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Lebih 1,000 graduan UBD dirai pada Majlis Konvokesyen

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Lebih 1,000 graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah diraikan setelah berjaya menamatkan pengajian masing-masing dan menerima ijazah serta diploma pada Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam (UBD) ke-33, di Dewan Canselor UBD, kelmarin.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UBD telah berkenan berangkat mengurniakan ijazah kepada 755 graduan terdiri daripada lapan orang graduan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan 747 graduan menerima ijazah Sarjana Muda pada sebelah pagi.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UBD yang juga telah berkenan mengurniakan ijazah kepada seramai 305 orang graduan Sarjana, Diploma Lanjutan dan Diploma pada sebelah petang.

    Menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia pada majlis sebelah pagi ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dan Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.

    Sejurus keberangkatan tiba, majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan diserikan lagi dengan keindahan alunan ayat-ayat suci Al-Quran Surah Fatir, Ayat 27 hingga 30 yang dibacakan oleh mahasiswa ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan dalam jurusan Sains Bio-Perubatan, Awang Muhammad Izzuddin bin Haji Nor Hisham.

    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para graduan. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menerima pesambah semasa menyaksikan Pameran Wawasan UBD 2025.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada salah seorang graduan UBD.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan mengurniakan ijazah kepada salah seorang graduan.
    Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina semasa menyampaikan sembah alu-aluan.
    Sebahagian ibu bapa graduan yang hadir menyerikan majlis konvokesyen sebelah petang.
    Antara 305 graduan yang menerima ijazah pada sebelah petang.
    Antara 755 graduan yang menerima ijazah PhD dan Sarjana Muda pada sebelah pagi.
    Sebahagian ibu bapa graduan yang hadir menyerikan majlis konvokesyen itu.

    Majlis disusuli dengan sembah alu-aluan oleh Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina yang antara lain menyembahkan bahawa beberapa perkembangan yang dilaksanakan oleh UBD sejak konvokesyen yang lalu, antaranya menerusi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, UBD berpeluang untuk menyumbang kepada usaha Program Vaksinasi Kebangsaan dengan pembukaan Pusat Vaksinasi UBD.

    Jelasnya, pusat berkenaan mula beroperasi selama empat bulan daripada permulaan gelombang COVID-19 pada Ogos tahun lalu dengan dikendalikan oleh lebih daripada 300 sukarelawan terdiri daripada kakitangan dan pelajar UBD dan Politeknik Brunei yang berjaya memberikan hampir 80,000 dos vaksinasi.

    Sementara dari segi akademik, katanya, UBD telah mewujudkan bidang penyelidikan baharu yang merentasi disiplin dalam penyakit-penyakit baharu atau Emerging Diseases, di mana projek dikendalikan di bawah bidang itu juga termasuk projek kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Duke-NUS Singapura dalam mengkaji tindak balas antibodi terhadap pelbagai vaksin COVID-19 dalam populasi Negara Brunei Darussalam.

    “Menyentuh mengenai pembelajaran dalam situasi pandemik COVID-19 terutama dalam Revolusi Industri Ke-4 sembahnya lagi, inisiatif-inisiatif digital telah terbukti menjadi prioriti sebagai satu kemahiran yang perlu dipupuk dalam kalangan pelajar-pelajar bagi memastikan kebolehpasaran mereka.

    “Justeru, dengan penubuhan School of Digital Science pada tahun lepas, UBD telah bekerjasama dengan sektor industri bagi memastikan program-program digitalnya mengikut landskap global dan sentiasa relevan,” sembahnya lagi.

    Sejurus sembah alu-aluan naib canselor UBD, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah dan seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada graduan PhD dan Sarjana Muda dan bagi memberkati majlis bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyaksikan pameran khas yang mempamerkan mengenai Wawasan UBD 2025 di mana UBD menumpukan tiga matlamat strategiknya iaitu Towards a University of Lifelong Learning, Towards a University of Research Excellence dan Towards a University of Innovation and Enterprise.

    Menjelang tahun 2025, UBD akan terkenal dengan pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatannya, sambil turut menyumbang kepada pembangunan sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.

    Pada pameran tersebut, Baginda Sultan juga berkenan menerima pesambah berupa kayu gaharu dan minyak gaharu emas tempatan gred terbaik yang disimpan di dalam Kayu Raja (Agathis borneensis) yang disembahkan oleh Pengarah Urusan PAHAYTC Sdn. Bhd., Yong Teck Foo. Kayu Raja dikenali sebagai raja pokok dan penduduk tempatan menyebutnya sebagai Kayu Tulong.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...