Lebih 1,000 hadiri ceramah motivasi Islam

Oleh Izah Azahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Lebih 1,000 orang hadir mendengarkan ceramah motivasi Islam oleh Yasmin Mogahed, penceramah antarabangsa dan penulis terkenal, yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah turut berkenan berangkat menghadiri ceramah berkenaan yang dianjurkan oleh Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur dengan kerjasama Qalby Sdn Bhd.

Menumpukan ke atas bukunya yang laris bertajuk Reclaim Your Heart: Personal Insights on Breaking Free from Life’s Shackles, beliau bercakap mengenai perjalanan hati dalam kehidupan dan kandungan bukunya berdasarkan pengalaman hidup beliau.

“Buku ini adalah mengenai bagaimana kita boleh mula hidup dalam kehidupan ini, tanpa menjadi hamba kepada kehidupan ini, mengenai bagaimana kita boleh hidup dalam dunia tanpa dunia memiliki kita dan ia bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan.

“Apabila anda membenarkan dunia memasuki hati anda, apabila anda membenarkan diri anda mencintai dunia dalam cara yang tidak sepatutnya kita mencintai dunia, itulah saat dunia membinasakan kita,” ujar beliau.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah ketika berkenan berangkat ke majlis tersebut. – Gambar oleh Rahwani Zahari

Beliau menjelaskan bahawa Reclaim Your Heart adalah mengenai proses mengambil balik hati daripada dunia serta perkara-perkara yang diberikan hati seperti wang, status, kuasa, kemasyhuran dan orang lain dalam hidup.

“Apa saja yang kita ambil ke hati kita dan sebati ke dalam hati kita menjadi tuan kita dan sebab itulah kenapa terdapat orang di luar sana yang memberi hati mereka kepada wang, kemasyhuran, kerjaya, kuasa atau status,” ujarnya.

Dalam bukunya, Yasmin turut menyentuh mengenai perasaan palsu, cinta, kesusahan, hubungan dengan Pencipta, status wanita, ummah dan sebagainya.

Ceramah motivasi berkenaan berobjektif untuk mengaitkannya dengan tujuan sebenar kehidupan yang kerap dilupakan.

Yasmin Mogahed adalah penceramah motivasi Islam pertama yang ditampilkan oleh Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur dengan kerjasama Qalby Sdn Bhd Brunei dan negara ini adalah persinggahan terakhir bagi jelajah panjang Yasmin pada tahun ini.

Beliau juga telah menyampaikan ceramah di Malaysia, Australia dan New Zealand.