Lebih 1,000 hadiri Majlis Hari Raya BSP

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 14 JUN – Dalam mengetengahkan kepentingan mengukuhkan lagi hubungan bersama masyarakat sekitar, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya BSP di Pusat Insani, di sini, hari ini.

Majlis yang diadakan sebagai sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial BSP itu telah mengalu-alukan lebih 1,000 tetamu termasuk para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, penduduk sekitar Seria dan Kuala Belait, para pegawai kanan kerajaan, pasukan kepimpinan serta kakitangan BSP.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang dialu-alukan oleh Pengarah Urusan BSP, Dr Ceri M. Powell.

Membawa tema ‘Balik Kampung’, Dr Ceri dan kakitangan BSP telah mengalu-alukan para jemputan bagi menikmati pelbagai hidangan yang disajikan serta menunjukkan berbagai-bagai permainan dan aktiviti yang tersedia bagi keluarga dari semua peringkat usia.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk kuiz menguji pengetahuan hadirin mengenai BSP dan Daerah Belait, lukisan inai, melukis muka serta permainan memulas belon.

Selain itu, pondok gambar juga disediakan di mana para jemputan dapat menggunakan alatan perayaan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BSP.
Para tetamu ketika menjamu selera pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BSP kelmarin.