Lebih 1,000 respons diterima bagi pengambilan barang di pejabat pos

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, sejak dari 20 April, telah pun menerima lebih daripada 1,050 respons borang deklarasi pengambilan paket-paket kecil dan bungkusan melalui e-mel dengan borang-borang berkenaan sudah pun mula diproses bagi pengumpulan data-data untuk diserahkan kepada pihak Syarikat Pos Malaysia bagi proses selanjutnya.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, pihak Jabatan Perkhidmatan Pos juga ingin mengingatkan orang ramai yang belum mengisi borang deklarasi pengambilan paket-paket kecil dan bungkusan melalui jabatan itu supaya akan dapat melakukannya dengan segeranya di laman sesawang www.post.gov.bn/parcel, tidak lewat 29 April, pukul 12 tengah hari.

Di samping itu, turut diingatkan kepada orang ramai bahawa Jabatan Perkhidmatan Pos, hanya akan mengambil paket-paket kecil dan bungkusan yang telah dialamatkan ke Pos Laju Limbang dan Pos Laju Miri dan tertakluk kepada ketepatan data-data yang diberikan.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut bolehlah menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (CSC) di talian +673 2380481 atau +673 8711002 (WhatsApp) atau emel [email protected]