Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 1,000 tan sisa makanan dibuang

    KUALA LUMPUR, 2 April – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mendedahkan lebih 1,000 daripada 3,000 tan sampah yang dibuang warga kota setiap hari merupakan sisa makanan yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan.

    Menyifatkan perkara itu sebagai menyedihkan, Tengku Adnan berkata pembaziran berkenaan tidak seharusnya berlaku dalam kalangan masyarakat yang sepatutnya mengamalkan sikap berhemat dan bijak berbelanja dalam kehidupan pada masa ini.

    “…tuan-tuan dan puan-puan sering kali menyuarakan tentang kekangan kehidupan, harga mahal dan macam-macam masalah, sepatutnya tanya diri masing-masing.

    Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) melawat gerai pameran selepas Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama Pihak Berkepentingan pada majlis Pengiktirafan bagi Kawasan yang Diiktiraf A (Peringkat 1) Blueprint Penarafan Kebersihan Kawasan Desa Tasik di Kompleks Sukan Desa Tasik kelmarin. – Bernama
    Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) melawat gerai pameran selepas Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama Pihak Berkepentingan pada majlis Pengiktirafan bagi Kawasan yang Diiktiraf A (Peringkat 1) Blueprint Penarafan Kebersihan Kawasan Desa Tasik di Kompleks Sukan Desa Tasik kelmarin. – Bernama

    “Hasil analisis yang dibuat oleh pegawai-pegawai saya ini amat membimbangkan. Kita perlu ingat, pembaziran adalah menyalahi ajaran agama dan saya rayu kepada semua tak kira Melayu, Cina atau India supaya janganlah membazir dan berpada-pada dalam berbelanja,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Pengiktirafan Kawasan Yang Ditaraf A (Peringkat 1), Blueprint Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

    Dalam pada itu, Tengku Adnan mengingatkan peniaga dan penjaja di sekitar ibu kota agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan jualan mereka atau berdepan tindakan pembatalan lesen perniagaan.

    “Selain menaikkan harga, ada juga peniaga yang menyewakan premis mereka kepada pihak ketiga dengan harga berlipat ganda. Sekiranya kesalahan itu dikenal pasti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak teragak-agak batalkan lesen perniagaan,” katanya.– Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda