Thursday, October 10, 2024
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 1,000 tanglung digantungkan

    Oleh Nur Adila Abdul Wahab

     

    GEORGE TOWN – Sebuah restoran dim sum yang popular di negeri ini menjadi tumpuan pengunjung pelbagai bangsa dan agama yang tertarik dengan lebih 1,000 tanglung pelbagai bentuk dan saiz digantung di premis berkenaan.

    Pemilik Restoran Tai Tong di Lebuh Cintra di sini, Pang Khek Seng berkata tradisi menggantung tanglung bersempena sambutan Festival Pertengahan Musim Luruh itu dimulakan sejak lebih 20 tahun lalu dan menarik perhatian bukan sahaja kaum Cina tetapi juga Melayu dan India serta pelancong asing yang singgah membeli tanglung berkenaan.

    “Kami mula menggantung tanglung ini pada Julai lalu dan sambutan berterusan sehingga akhir bulan ini. Ada pelanggan yang datang ke restoran bukan sahaja untuk makan, mereka turut bergambar dan membeli tanglung kerana kebanyakan tanglung yang dijual di sini adalah buatan tangan dan sukar didapati di luar. “Ada juga (pelanggan) yang datang ke sini hanya semata-mata mahu membeli tanglung. Pelancong luar negara juga ada yang beli untuk dibawa pulang ke negara mereka,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

    Pang, 52 berkata kira-kira 100 jenis dan bentuk tanglung digantung dan dijual di situ antaranya berbentuk ayam, naga, arnab, ikan, unikorn, watak kartun Doraemon, Ultraman, Pikachu, Garfield dan lain-lain yang dijual pada harga RM5 hingga RM88.

    Pang berkata kesemua tanglung tradisional itu yang dibeli di Johor, Perak dan Pulau Pinang dibuat oleh pesara dan warga emas dengan tanglung berbentuk naga, unikorn serta watak animasi Elsa daripada filem Frozen paling banyak dibeli oleh pelanggan.

    Sebuah restoran menjual dim sum yang popular di negeri ini menggantung lebih 1,000 tanglung atau lentera sempena perayaan pertengahan musim luruh bagi menyemarakkan lagi sambutan perayaan itu. – Bernama

    “Kebanyakan pelanggan sangat suka dengan tanglung tradisional buatan tangan. Kami mula mengumpul tanglung-tanglung ini sejak awal tahun ini dan masuk ke kampung-kampung untuk mendapatkannya kerana orang tua sahaja yang masih buat tanglung tradisional ini.

    “Selepas habis perayaan pada 23 September ini, kami akan mulakan usaha mencari dan mengumpul tanglung untuk sambutan pada tahun depan pula. Kami kena mula mengumpul dari sekarang untuk pastikan bekalan tanglung mencukupi,” katanya.

    Beliau berkata selain tanglung, restorannya turut menjual 18 jenis kuih bulan bersempena sambutan itu.

    Sementara itu, seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Teh, 50an, berkata restoran itu adalah tempat makan kegemarannya yang dikunjungi hampir setiap hujung minggu. Beliau berkata pelbagai jenis tanglung yang digantung di siling restoran itu menjadikan suasana di premis berkenaan meriah.

    Bagi warga emas dari Bukit Mertajam, Teoh Sein Leong, 66, pula suasana itu menjadikan restoran tersebut lebih istimewa sambil pelanggan menikmati juadah dim sum yang sedap.

    Tanglung dan kuih bulan adalah perkara utama bagi sambutan Festival Pertengahan Musim Luruh yang diraikan pada hari ke-15 bulan kelapan menurut kalendar lunar Cina, iaitu festival kedua disambut meriah di China selepas Tahun Baharu Cina.

    Dipanggil Festival Pertengahan Musim Luruh kerana sambutan diraikan pada pertengahan musim luruh. Ia juga dipanggil Festival Kuih Bulan kerana pada waktu itu bulan penuh akan bercahaya dengan terang berbanding kebiasaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda